Polis dan masyarakat berpisah tiada

Polis dan masyarakat berpisah tiada

SEORANG anggota polis mendapat kepercayaan untuk menjaga keselamatan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

POLIS dan masyarakat berpisah tiada adalah ungkapan yang menunjukkan hubungan erat antara pihak berkuasa dan rakyat. Namun, susulan beberapa insiden jenayah yang melibatkan anggota polis, banyak ciapan di platform media sosial mempersoalkan dan meragui integriti anggota pasukan ini.

Walaupun isu ini mencetuskan kontroversi, ia merupakan peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah baik tahap mutu dan kualiti anggota, terutamanya yang bakal diserap menyertai agensi berkenaan.

Di Malaysia, Akta Polis 1967 sebelum disemak pada 1988 (Akta 344 1988) diwujudkan untuk mengatur perlembagaan, kawalan, pekerjaan, pengambilan, dana, disiplin, tugas dan kuasa PDRM.

Hingga kini, terdapat beberapa usaha pindaan untuk menjadikan akta ini lebih sesuai dengan amalan hak asasi manusia yang diterima di peringkat antarabangsa. Maka, usaha serta penilaian semula perlu dibuat kerajaan dan anggota pasukan bagi memastikan undang-undang yang terlibat dalam menjamin integriti mahupun nama baik PDRM adil selain bersesuaian dengan kehendak semasa.

Mana-mana individu yang diserap masuk ke dalam pasukan polis wajib dipastikan layak memikul tanggungjawab menjaga keamanan negara dan masyarakat setempat. Tugas anggota polis melibatkan interaksi bersama masyarakat dan amat penting untuk anggota penguatkuasa menjaga tatakelakuan semasa mahupun di luar waktu bertugas.

Seorang anggota polis mendapat kepercayaan untuk menjaga masyarakat. Tanggapan itu perlu sentiasa dikekalkan dan jangan diragut kerana isu-isu melibatkan pegawai polis yang lain.

Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Hubungan baik antara polis dan masyarakat perlu terus dikekalkan bagi mewujudkan sebuah negara yang sejahtera dari sebarang ancaman luar mahupun dalaman.

Dalam usaha memperkukuh hubungan itu, kita perlu memastikan integriti dan profesionalisme anggota PDRM sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang melanggar etika dan undang-undang selain memastikan proses pengambilan anggota baharu adalah telus serta berwibawa. Hanya dengan cara ini, kepercayaan masyarakat terhadap pasukan polis dapat dipulihkan dan dikekalkan. Masyarakat sejahtera bila mana polisnya berwibawa.

AIMAN RAZAK
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN