SAUDARA PENGARANG,
MAJLIS Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) harus bernafas dan diberikan peranan bertenaga (empower) seiring dengan saranan terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar usaha diperluaskan bagi tujuan menyelamatkan nyawa di jalan raya.
Saya bukan ahli MKJR. Saya hanya seorang rakyat Malaysia yang mengambil berat kemusnahan manusia di jalan raya dan saya pernah berada dalam Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) selama tiga tahun.
Atas sebab-sebab ‘misteri’, sejak 2019 MKJR tidak mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan sekali gus menyebabkan hala tuju kabur berikutan penyusunan mengelirukan setelah pembubaran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Malaysia pada April 2020 yang kini diletakkan sebagai sebuah unit di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
JKJR dahulu adalah sekretariat MKJR yang bertanggungjawab mengelolakan acara tahunan terbesar dan menjalankan pemantauan aktiviti MKJR negeri serta sebagai pusat sehenti susulan usul-usul resolusi pada mesyuarat agung setiap tahun.
Kini menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli-ahli MKJR, adakah MKJR masih lagi sebuah pertubuhan NGO yang sah kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan sejak lima tahun kebelakangan ini?
Saya dimaklumkan terdapat beberapa MKJR negeri masih gigih menjalankan mesyuarat sekurang-kurangnya empat kali setahun. Namun, terdapat beberapa MKJR negeri yang gagal mengadakan jumlah mesyuarat ditetapkan dengan alasan MKJR Kebangsaan tidak aktif.
Kekangan birokrasi di Kementerian Pengangkutan dan tahap kelancaran di Bahagian Keselamatan Jalan Raya JPJ menyebabkan idea-idea MKJR terbantut dan komunikasi tidak bermaya.
Walaupun jumlah kematian di jalan raya tahun lalu mencatat 6,473 kematian iaitu paling tinggi sejak lima tahun kebelakangan ini sementara kadar maut pengguna motosikal adalah tertinggi dalam sejarah (bagi setiap 100 kematian, 70 adalah pengguna motosikal) berserta jumlah kematian keseluruhan di jalan raya lebih tinggi dari kematian akibat Covid-19.
Yang jelas dilihat Kementerian Pengangkutan dan agensi di bawahnya masih ingin membuat perkara sama berulang kali setiap tahun tetapi mereka mengharapkan hasil yang berbeza.
Gesaan saya kepada Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi berkaitan, mohon lindungi MKJR tanpa berlengah lagi bagi mengelakkan badan ini dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akibat ketiadaan mesyuarat agung sejak 2019.
Berhubung dan berkerjasama dengan semua MKJR negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk menjadikan usaha selamatkan nyawa di jalan raya sebagai satu perkara yang menarik. Ia perlu melibatkan ahli-ahli MKJR yang berpengetahuan dan berpengalaman luas untuk berkomunikasi kepada media serta masyarakat selain melibatkan badan ini dalam Jawatankuasa Peringkat Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya.
Selain itu, wajar tubuhkan satu pasukan khas untuk melaksanakan Pelan Keselamatan Jalan Raya bagi tempoh tujuh tahun akan datang dengan tumpuan kepada lima daerah yang mencatat rekod kematian terburuk.
Dalam masa sama dapatkan khidmat nasihat pengurus kempen untuk melaksanakan pelan komunikasi berkesan bagi jangka pendek (setahun), jangka sederhana ( tiga tahun) dan jangka panjang (sehingga tahun 2030).-UTUSAN
SHAHRIM TAMRIN
Aktivis keselamatan jalan raya










