Jadikan sekolah tempat yang menyeronokkan

Jadikan sekolah tempat yang menyeronokkan

GEJALA ponteng sekolah boleh diatasi sekiranya pihak sekolah mewujudkan suasana menyeronokkan sepanjang sesi persekolahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Ponteng kelas dan ponteng sekolah adalah masalah yang sering dihadapi pihak sekolah. Masalah ini bukan sahaja mengganggu proses pembelajaran tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada masa depan. Oleh itu, penting bagi pihak sekolah memahami sebab di sebalik tingkah laku ini dan mencari cara untuk menarik minat pelajar ke sekolah.

Salah satu cara yang berkesan adalah dengan menjadikan sekolah sebagai tempat yang menyeronokkan. Guru perlu ingat bahawa pelajar adalah pelanggan. Jika pelanggan kurang berkunjung ke sekolah, ini bermakna sesebuah sekolah itu bermasalah.

Salah satu sebab utama pelajar ponteng kerana mereka merasa bosan. Pembelajaran yang terlalu berpusatkan guru dan kurang melibatkan pelajar boleh menyebabkan mereka kehilangan minat. Pelajar yang tidak terlibat secara aktif dalam pembelajaran cenderung untuk merasa bosan dan akhirnya mencari alasan untuk tidak hadir ke sekolah.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak sekolah perlu mencipta persekitaran yang menyeronokkan dan kondusif untuk pembelajaran. Salah satu cara adalah dengan mengadakan aktiviti kokurikulum yang menarik.

Selain itu, guru juga perlu mengamalkan pendekatan pengajaran yang kreatif dan inovatif. Penggunaan teknologi dalam pengajaran seperti pembelajaran dalam talian dan penggunaan alat bantu mengajar digital, boleh menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan. Guru juga boleh menggunakan permainan pendidikan sebagai salah satu kaedah untuk menarik minat pelajar.

Perhubungan yang baik antara guru dan pelajar juga memainkan peranan penting dalam menarik minat pelajar ke sekolah. Guru perlu bersikap mesra dan mengambil berat tentang kebajikan pelajar. Apabila pelajar merasa dihargai dan disayangi, mereka akan lebih cenderung untuk hadir ke sekolah dan mengikuti kelas dengan penuh minat.

Pihak sekolah juga boleh mengadakan program motivasi dan bimbingan kerjaya untuk pelajar. Apabila pelajar mempunyai matlamat yang jelas, mereka akan lebih bersemangat untuk belajar dan kurang cenderung untuk ponteng sekolah.

Selain itu, sekolah boleh bekerjasama dengan ibu bapa dengan memberi kesedaran tentang pentingnya pendidikan dan peranan mereka dalam memastikan anak-anak hadir ke sekolah. Sekolah boleh mengadakan sesi perjumpaan dengan ibu bapa untuk membincangkan masalah dan mencari jalan penyelesaian bersama.

Akhir sekali, pihak sekolah perlu sentiasa memantau kehadiran pelajar dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang kerap ponteng sekolah. Tindakan disiplin yang tegas perlu diambil bagi memastikan pelajar memahami kesan negatif ponteng sekolah terhadap masa depan.-UTUSAN

NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN