SAUDARA PENGARANG,
SEMAKIN ramai yang sedar kepentingan menjaga kesihatan. Masyarakat juga mula mengenali manfaat herba dalam mengurangkan risiko penyakit dan meningkatkan sistem imun. Ini menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap produk herba, yang mana ia dianggap sebagai alternatif semula jadi lebih selamat berbanding dengan ubat-ubatan kimia yang mungkin mempunyai kesan sampingan tidak diingini.
Namun begitu, antara isu utama dalam pengkomersialan produk herba berkualiti tinggi adalah melibatkan harga yang lebih mahal berbanding produk herba biasa atau konvensional. Sudah tentu persepsi harga ini akan mempengaruhi kuasa membeli dan penggunaan produk dalam kalangan masyarakat.
Pemain industri perlu memainkan peranan penting dalam menangani isu ini. Dengan adanya kerjasama yang baik, waktu dan kos yang terlibat dalam proses penyediaan bahan mentah serta pengedaran produk dapat dikurangkan.
Program subsidi atau diskaun khas untuk produk berkualiti tinggi kepada pelbagai lapisan masyarakat juga perlu diwujudkan. Ini adalah untuk mengurangkan beban kewangan bagi pengguna, seterusnya mendorong penggunaan produk herba berkualiti tinggi.
Melalui program subsidi, potongan harga atau bantuan kewangan boleh diberikan kepada pengguna yang memenuhi syarat tertentu. Contohnya, subsidi boleh ditujukan kepada golongan pendapatan rendah atau kepada mereka yang mempunyai keperluan khas, seperti warga emas atau individu dengan keadaan kesihatan tertentu.
Dengan adanya subsidi ini, pengguna akan memperoleh produk herba berkualiti tinggi dengan harga mampu milik dan ini akan mendorong penggunaan produk tersebut. Manakala program diskaun khas menjadikan pengguna lebih termotivasi untuk membeli. Melalui program subsidi atau diskaun khas ini, industri herba dapat memberi manfaat secara langsung kepada pengguna dengan mengurangkan beban kewangan dan membolehkan akses yang lebih meluas kepada produk berkualiti tinggi.
Dengan melaksanakan strategi-strategi ini, industri herba boleh mengurangkan halangan harga dan meningkatkan aksesibiliti kepada produk berkualiti tinggi bagi masyarakat umum. Ini akan membolehkan lebih ramai orang memperoleh manfaat kesihatan dan kesejahteraan yang optimal.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NOOR AKHMAZILLAH MOHD FAUZI
Jabatan Teknologi Kejuruteraan Kimia,
Fakulti Teknologi Kejuruteraan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










