SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIAN Humanitarian Aid & Relief (Mahar) terus mendesak untuk berlakunya gencatan senjata di Palestin beserta pembukaan sempadan bagi maksud penyaluran bantuan kemanusiaan di Gaza.
Serangan genosid rejim Israel telah melangkaui bulan kesembilan dan sehingga Jun tahun ini, dianggar sejumlah 138,000 rakyat Palestin (atau mungkin lebih lagi) dibunuh.
Serangan terbaru ke atas Sekolah Al-Awda di Abasan pula tambah mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan mencederakan ratusan lainnya. Beberapa hari selepas pembunuhan beramai-ramai tersebut, rejim Israel sekali lagi menyerang kem pelarian yang lain, iaitu kem Mawasi di Khan Younis dan Shati di Gaza City.
Pembunuhan kejam terhadap orang awam, khususnya kanak-kanak, adalah tindakan yang melampaui batas kemanusiaan. Lebih tragis lagi apabila kawasan-kawasan ini adalah ‘zon selamat’, yang pada hakikatnya menjadi medan peperangan.
Tambahan pula, Israel secara terang-terangan menggunakan kebuluran dan pemindahan paksa sebagai senjata, melanggar segala bentuk asas kemanusiaan terhadap orang awam di Gaza. Keseluruhan Gaza hampir musnah sepenuhnya dengan 90 peratus bangunannya hancur dan perkhidmatan kesihatan yang hampir lumpuh.
Laluan bantuan kemanusiaan melalui Rafah ditutup, menyebabkan penduduk Gaza kekurangan makanan dan perubatan. Penularan penyakit berjangkit memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah parah.
Benjamin Netanyahu enggan menandatangani gencatan senjata demi kepentingan peribadi dan melanjutkan serangan untuk mencapai matlamatnya, meskipun berhadapan dengan tuduhan rasuah. Benjamin yakin Israel tidak akan dihukum walaupun Amerika Syarikat (AS)mendesak agar gencatan senjata diumum secepat mungkin.
Kekejaman rejim Israel ini juga menjadikan penyelesaian dua negara mustahil, lebih- lebih lagi menerusi perlanggaran bersiri terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Mahkamah Jenayah Dunia (ICC), bahkan juga Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tanpa sebarang kecaman dari negara-negara sekutunya, AS, United Kingdom (UK) dan Jerman.
Bagaimana mungkin Palestin membentuk negara yang stabil jika pencerobohan dan penempatan Israel secara berterusan telah memecah-belahkan wilayah Palestin?
Bagaimana mungkin Palestin membentuk negaranya jika semua bangunan telah musnah dan nyawa rakyatnya banyak dibunuh secara kejam?
Tindakan kejam Israel yang melibatkan perampasan tanah, penempatan haram dan pengusiran menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia secara sistematik terhadap rakyat Palestin. Serangan ketenteraan, sekatan ekonomi serta kerosakan prasarana tambah menyukarkan lagi Palestin membentuk negara yang stabil dan berfungsi.
Sudah tiba masanya kita membawa Israel kepada muka pengadilan dan menolak naratif penyelesaian dua negara yang sekadar merelakan rampasan tanah, perlakuan apartheid serta serangan genosid yang berterusan dengan dukungan kuasa-kuasa besar dunia.
Rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama rata iaitu sebuah negara yang berdaulat, seperti mana yang juga turut diiktiraf oleh 145 daripada 193 buah negara anggota PBB.
Gencatan senjata adalah jalan terbaik dan kita perlu bersatu mendesak Israel supaya segera menamatkan pembunuhan etnik rakyat Palestin.
Masyarakat antarabangsa perlu terus mengheret Israel ke muka pengadilan, menghentikan serangannya dengan serta-merta dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Jangan kita teruskan normalisasi tindakan sebuah negara yang melampaui batas kemanusiaan.-UTUSAN
NURUL IZZAH ANWAR
Penasihat Kehormat
Malaysian Humanitarian Aid
and Relief (Mahar)










