SAUDARA PENGARANG,
SALAH satu daya tarikan pelancong ke Ulu Tembeling, Pahang ialah Bukit Awan di Kampung Pagi. Kawasan ini mempunyai pemandangan berkabus yang cantik terutamanya pada waktu pagi. Ramai pelancong akan berhenti untuk merakam foto kenangan sambil berehat.
Pondok-pondok rehat disediakan kepada pengunjung untuk berehat setelah melalui perjalanan yang memakan masa sejam 30 minit dari bandar Jerantut.
Namun, di sebalik cerita keindahan ini, agak mendukacitakan apabila kawasan ini sudah mula terbiar. Kawasan pondok rehat sudah mula dipenuhi semak. Lalang tidak dipotong menyebabkan pengunjung merasa tidak selesa. Tiada tong sampah disediakan menyebabkan sampah dibuang merata-rata.
Sikap pengunjung yang tidak bertanggungjawab menyebabkan pondok rehat sudah ada yang rosak walaupun baharu sahaja diselenggara.
Oleh itu, demi memastikan kawasan ini terus menjadi pilihan pelancong, maka dicadangkan pihak pengurusan menyediakan kemudahan bilik air untuk kegunaan pengunjung.
Sekiranya perlu, tempatkan pekerja untuk menjaga kawasan ini.
Semoga Bukit Awan akan semakin menjadi daya penarik untuk orang ramai berkunjung ke Ulu Tembeling.-UTUSAN
MANOLITO
Pahang










