SAUDARA PENGARANG,
PERIKATAN Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) mengecam keras penglibatan ahli politik dalam kes rogol yang diputuskan di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meskipun bukan sebagai pelaku, namun penglibatannya dalam mengaturkan sambutan ulang tahun, yang diraikan dengan mengambil minuman beralkahol, telah dinamakan dalam Alasan Penghakiman yang tular khususnya melalui keterangan saksi pengadu.
WAFIQ memandang isu ini dengan serius dan mengecam tindakan tidak beretika seorang lelaki yang sanggup menodai seorang wanita dalam kerentanan yangi mana wanita itu tidak mampu membela keselamatan dirinya sendiri.
WAFIQ mengingatkan masyarakat Malaysia secara umum, khususnya kepada kaum lelaki bahawa wujud tanggungjawab dan amanah untuk memelihara kehormatan kaum wanita. Kegagalan lelaki memelihara amanah ini amatlah dikesali.
Keterangan saksi pengadu dalam Alasan Penghakiman tersebut turut menyatakan dengan jelas bahawa ahli politikus tersebut kerap mengadakan hubungan intim bersamanya meskipun tiada ikatan perkahwinan yang sah.
Ini ketara menggambarkan moraliti dan integriti ahli politikus terbabit yang buruk sehinggakan dia sanggup meninggalkan teman wanitanya dalam keadaan rentan bersama pembantunya tanpa mengambil kira keselamatan wanita tersebut yang akhirnya telah dirogol.
WAFIQ mencela tindakan ahli politik tersebut yang tidak segan dengan moraliti yang dipegang teguh masyarakat Malaysia yang bersandarkan budaya ketimuran, mementingkan prinsip keutuhan keluarga sebagai pasak utama masyarakat.
Sebagai pemimpin dalam masyarakat yang memegang jawatan penting, ahli politik tersebut menunjukkan kelakuan yang sangat biadab terhadap Keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang memperakui ajaran agama Islam sebagai pasak negara selain mengingkari Kedaulatan Undang-Undang termasuklah di bawah enakmen Syariah negeri.
WAFIQ mendesak agar parti politik yang dianggotainya mengambil tindakan tegas terhadapnya di atas penglibatannya dalam skandal hubungan intim ini.-UTUSAN
FATIHAH JAMHARI
Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)











