SAUDARA PENGARANG,
KANAK-KANAK adalah individu yang sedang melalui fasa tumbesaran dari segi fizikal, kognitif dan emosi. Bagi sesetengah kanak-kanak, fasa tumbesaran mereka diganggu dengan isu gangguan neurobiologi seperti Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD).
Dalam Panduan Amalan Klinikal 2020 (CPG), Kementerian Kesihatan menganggarkan seramai 1.3 hingga 4.6 peratus kanak-kanak di Malaysia mempunyai ADHD. Kebanyakannya, dihidapi oleh kanak-kanak lelaki. Ia boleh dikesan pada usia seawal lima tahun. Tahap keterukan ADHD akan meningkat sekiranya ia tidak dirawat dengan lebih awal.
Kanak-kanak ADHD biasanya menghadapi cabaran dalam memberi tumpuan kepada sesuatu tugasan, menjadi terlalu aktif dan bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu (impulsif) jika dibandingkan dengan rakan sebaya.
Gejala-gejala yang lebih spesifik boleh diperhatikan ibu bapa dan guru terutama apabila kanak-kanak ini sukar menjalinkan persahabatan dan mempunyai prestasi akademik yang lemah . Antara kebiasaan gejala spesifik ADHD adalah :
• Tidak mampu menyelesaikan tugasan yang diberi
• Sering kehilangan barang
• Tidak memberi perhatian kepada orang yang sedang bercakap dengannya
• Sering lupa
• Sering resah apabila berada di suatu tempat dengan tempoh yang lama
• Banyak bercakap
• Menjawab dengan spontan tanpa berfikir terlebih dahulu
• Tidak sabar menunggu giliran
• Sering mengganggu rakan lain
• Tidak mampu bermain dengan cara yang tenang
Oleh itu, sekiranya gabungan gejala-gejala ini dapat diperhatikan dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa atau guru perlulah membawa mereka berjumpa pakar kanak-kanak untuk proses mengenal pasti dan pengesahan ADHD.
Pengesahan dari golongan profesional ini dapat membezakan samada kanak-kanak ini mempunyai ADHD atau kanak-kanak yang biasanya aktif dan memerlukan perhatian dari orang dewasa.
Kanak-kanak ADHD mampu cemerlang sekiranya mendapat sokongan, intervensi dan pendidikan yang sesuai.
Sebagai contoh, Michael Phelps memenangi 23 pingat emas Olimpik dalam acara renang. Beliau menggunakan aktiviti renang sebagai cara mengurus gejala ADHD apabila mendapat pengesahan pada umur 7 tahun.
Justeru, ibu bapa perlu cakna akan perkembangan tingkah laku kanak-kanak dan sentiasa mendapatkan bantuan awal serta sokongan dari pihak tertentu. Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan bukanlah penghalang untuk kanak-kanak mencapai kejayaan dalam hidup.-UTUSAN
DR. NUR FAZIDAH ASMUJE dan ADRIANA KHAIRIN KHAIRUDDIN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)









