Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah luar bandar

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah luar bandar

GURU perlu kreatif tanpa terlalu terikat dengan buku teks dalam menggalakkan murid untuk bertutur dan memahami bahasa Inggeris dengan baik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENCAPAIAN penguasaan bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan luar bandar perlu ditingkatkan segera bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Kelemahan menguasai bahasa Inggeris akan menjadi batu halangan untuk pelajar Melayu menguasai pasaran kerja pada masa hadapan.

Asas penguasaan bahasa Inggeris terutama berkomunikasi perlu ditekankan sejak sekolah rendah lagi. Saya percaya semua sekolah sudah dibekalkan dengan guru bahasa Inggeris yang terlatih.

Guru-guru wajib menggunakan bahasa Inggeris sewaktu mengajar di bilik darjah. Mungkin ada kebimbangan apabila murid tidak memahami apa yang dikatakan oleh guru. Di sinilah letaknya kebijaksanaan guru menterjemah tanpa menggunakan bahasa Melayu. Guru boleh menggunakan bahasa badan.

Yang pentingnya pembudayaan bahasa Inggeris berlaku di bilik darjah dan sekolah. Guru bahasa Inggeris dilarang menggunakan bahasa Melayu ketika di bilik darjah waima di sekolah.

Guru-guru perlu kreatif tanpa terlalu terikat dengan buku teks. Carilah bahan yang boleh merangsang minat murid untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Guru perlu memupuk diri murid sehingga berani berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Sekiranya ada sedikit kesilapan abaikan dahulu supaya murid tidak silu.

Aktiviti bahasa Inggeris di sekolah perlu digiatkan oleh Panitia Bahasa Inggeris. Banyak aktiviti boleh dijalankan seperti pertandingan nyanyian, berpidato, bercerita, silang kata dan baca berita. Galakkan semua murid mengambil bahagian.

Penguasaan perbendaharaan kata murid perlu diperbanyak. Hafalan makna perkataan secara latih tubi perlu dijalankan di sekolah luar bandar. Kita tidak mahu murid sentiasa berkepit dengan kamus.

Pentadbir perlu sentiasa memantau ke bilik darjah supaya guru-guru menggunakan waktu di bilik darjah dengan berkualiti.

Semoga isu penguasaan bahasa Inggeris di sekolah luar bandar yang tidak berkesudahan dapat diatasi segera. – UTUSAN

ABD MANAF MAT
Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN