SAUDARA PENGARANG,
RANCANGAN Malaysia Ke-12 menyasarkan kadar kitar semula sisa sebanyak 40 peratus menjelang 2025. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan kadar kitar semula kebangsaan pada 2023 telah meningkat kepada 35.38 peratus.
Kemungkinan peratusan ini boleh menjangkau sasaran adalah tinggi sekiranya terdapat usaha yang progresif daripada agensi kerajaan yang mampu mengubah amalan masyarakat dalam mengurus sisa pepejal.
Pelbagai usaha telah dipergiatkan bagi mencapai sasaran ini, antaranya mengetengahkan konsep ekonomi kitaran, memperluaskan tanggungjawab pengeluar dan mempertingkatkan amalan pengasingan sisa.
Kempen 3R (Reduce, Reuse and Recycle) bukan lagi hanya bertujuan untuk memberi kesedaran semata tetapi perlu diterapkan dan dipraktikkan sebagai satu amalan bagi setiap individu dalam kehidupan seharian.
Usaha dan inisiatif yang diambil dan dilaksanakan oleh kerajaan adalah amat baik, namun beberapa aspek perlu diambil perhatian terutamanya penyediaan infrastruktur dan lokasi pusat kitar semula yang aktif berdekatan kawasan kediaman bagi memudahkan masyarakat menghantar barangan yang telah diasingkan untuk dikitar semula.
Lokasi pusat mengitar semula sisa dilihat penting bagi menarik masyarakat setempat untuk datang dan menghantar barang kitar semula. Bukan itu saja, keberadaaan lokasi ini juga perlulah diketahui dan mudah untuk diakses.
Walau bagaimanapun, penekanan kesedaran berkenaan amalan kitar semula sisa juga perlu diterapkan pada masyarakat khususnya yang berada di luar bandar.
Tidak seperti masyarakat yang tinggal di bandar, maklumat yang diterima oleh masyarakat yang tinggal di luar bandar mengenai kitar semula sisa mungkin kurang atau terhad.
Pembakaran dan pembuangan sisa di kawasan terbuka dilaporkan masih lagi berlaku terutamanya di luar bandar. Berdasarkan kajian yang dibuat, kekurangan infrastruktur seperti penyediaan kawasan atau tong kitar semula berdekatan kawasan kediaman serta tahap kesedaran amalan kitar semula yang rendah membawa kepada pengurusan sisa pepejal yang tidak baik ini.
Masyarakat luar bandar rata-rata memahami konsep pengasingan sisa pepejal. Namun, akses masyarakat kepada pusat kitar semula sangat terhad. Mudahnya, sisa ini dibuang merata-rata.
Rata-rata masyarakat cakna dengan kepentingan dan kebaikan kitar semula sisa, namun kempen dan penggalakan kitar semula lebih tertumpu kepada masyarakat yang tinggal di bandar.
Oleh itu, pelaksanaan aktiviti berkonsepkan perkhidmatan komuniti adalah amatlah penting bagi libat urus secara terus dengan kerjasama kerajaan dan agensi atau institusi luar kepada masyarakat.
Libat urus ini berupaya meningkatkan kesedaran dan membudayakan amalan kitar semula sisa. Masyarakat pula disarankan agar lebih terbuka dan aktif dalam menghadiri program atau kempen yang dijalankan ini serta memberikan komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan amalan baik pengurusan sisa.
Dengan peningkatan pembudayaan kitar semula sisa, sudah pasti ia akan membawa kepada peningkatan kadar kitar semula yang mana dapat mengurangkan beban pengurusan sisa pepejal.
Bukan itu sahaja, dengan peningkatan kadar kitar semula sisa, ia dapat mengurangkan tahap kebergantungan kepada sumber asli dan mengelakkan pencemaran alam sekitar. – UTUSAN
DR. NAZATUL SYADIA ZAINORDIN
Pensyarah Kanan
Jabatan Alam Sekitar
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia










