SAUDARA PENGARANG,
TARIKH 14 Julai merupakan Hari Kesedaran Yu yang diraikan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan spesies yu di seluruh dunia.
Merujuk kepada Senarai Merah Spesies Terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), kini dianggarkan lebih satu pertiga daripada yu diancam dengan kepupusan.
Populasi yu di Malaysia berdepan dengan ancaman utama iaitu penangkapan ikan secara tidak sengaja oleh nelayan. Ikan yu juga diburu bagi mendapatkan sirip dan bahagian-bahagian lain yang mempunyai nilai tinggi di pasaran selain daripada dimakan sebagai makanan tradisional dan digunakan dalam pelbagai makanan yang diproses.
Di Malaysia, sebanyak 69 spesies yu yang telah direkodkan dan berdasarkan data pendaratan yu, spesies yu yang paling banyak ditemui di Malaysia ialah Yu Cicak dan sebanyak lima spesis yang dilindungi Akta Perikanan 1985.
Pada 2023, pendaratan yu di perairan Malaysia adalah sejumlah 4,113 tan metrik menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 2022 iaitu 3,439 tan metrik dan pada 2021 sebanyak 3,993 tan metrik.
Kerajaan telah melancarkan Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’ bermula 2014 dan mengharamkan sajian sup sirip ikan yu dalam semua acara rasmi kerajaan.
Jabatan Perikanan (DOF) juga mengambil inisiatif melindungi ikan yu dengan mengadakan latihan pengecaman spesies ikan yu kepada agensi penguatkuasaan dan nelayan selain daripada mengedarkan poster-poster kesedaran kepada orang awam. Kerjasama bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta universiti tempatan juga diadakan bagi menjalankan penyelidikan untuk mengetahui status populasi ikan yu di Malaysia.
Habitat dan tempat pembiakan yu yang dikenalpasti mempunyai populasi tinggi akan dicadangkan sebagai kawasan perlindungan penting bagi ikan yu.
Usaha konservasi diperkukuh lagi dengan bantuan NGO tempatan dalam memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti di Malaysia. NGO seperti World Wildlife Fund (WWF) dan Marine Research Foundation (MRF) antara entiti yang aktif dalam menjalankan kempen kesedaran serta pengumpulan maklumat berkaitan ikan yu melalui penyelidikan yang dijalankan di Malaysia.
DOF juga bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di Malaysia untuk membanteras kegiatan pemburuan perdagangan haram bagi ikan yu yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008. Pelan Tindakan Kebangsaan Pengurusan dan Pemuliharaan Yu (Pelan 3) yang bakal diterbitkan merupakan bukti komitmen dalam pengurusan spesies akuatik terancam di Malaysia ini dengan bersandarkan kepada peraturan dan dasar yang berkaitan.
DOF melalui Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) di Terengganu menjalankan penyelidikan saintifik dan pengumpulan maklumat berkenaan ikan yu dan pari di Malaysia. Maklumat-maklumat ini amat penting dalam membantu pihak pengurusan merancang dan melaksanakan pelan tindakan pemeliharaan dan pengurusan ikan yu di Malaysia.
Masyarakat setempat juga dapat membantu melindungi ikan yu dengan mengambil tindakan lebih berhati-hati dan tidak mencederakan atau mengganggu ikan yu yang ditemui ketika menjalankan aktiviti di laut. Orang awam boleh membantu usaha konservasi dengan tidak memilih makanan yang berasaskan sirip yu di restoran.
Jika terdapat sebarang kes penangkapan atau kedamparan spesies ikan yu, orang ramai boleh menghubungi talian Fishcom DOF iaitu 03-88704058. – UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perikanan Malaysia










