SAUDARA PENGARANG,
HAJI Murat diterbitkan selepas penulisnya, Leo Tolstoy meninggal dunia. Ahli Sejarah Sastera Rusia, Dmitry Svyatopolk-Mirsky (1890-1939) percaya bahawa penulis mencapai kemuncak tertinggi dalam kerjayanya.
Haji Murat difilemkan di Jerman pada 1930 tetapi menggunakan tajuk Setan Putih (dibintangi oleh pelakon Rusia, Ivan Mozzhukhin). Pada 1959, filem Itali-Yugoslavia, Haji Murat ditayangkan. Teater Haji Murat kebanyakannya dipentaskan di daerah Kaukasia, Buynaksk (1934), Makhachkala (2012), Tbilisi (2014), Baku (2016), Sukhumi (2018). Persembahan terbaharu arahan, Adgur Kove diadakan dalam rangka Festival Teater Tolstoy di Yasnaya Polyana pada Julai 2019. Amat membanggakan bahawa ia ditambah dengan persembahan oleh kumpulan teater Perdana Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Saya menonton pertunjukan itu bukan sekadar sebagai penonton biasa tetapi sebagai penterjemah karya itu ke dalam bahasa Melayu dan mengakui teruja dengan apa yang saya tonton.
Yang penting, kumpulan teater itu berjaya menyampaikan semangat karya penulis agung itu. Di hadapan kita muncul bukan sahaja seorang wira yang hebat, tetapi juga seorang lelaki yang berperikemanusiaan, seorang suami dan bapa yang penyayang.
Akhirnya, perang dan hubungan antarabangsa yang berbeza hanyalah latar belakang perkara utama yang ingin ditunjukkan oleh penulis – pilihan antara kebesaran, kemasyhuran dan kesetiaan kepada tugas bapa.
Bagi Leo, aspek moral sentiasa penting. Dan persembahan itu betul-betul ke arah ini.
Segala-galanya bagus dalam persembahan itu, baik dari segi lakonan, pakaian, reka bentuk pentas dan muzik. Memang menakjubkan! Bahkan adegan balet.
Penonton pula membalasnya dengan sorakan dan tepukan berterima kasih. Hati penonton dipenuhi dengan rasa simpati atas kematian wira demi menyelamatkan keluarganya.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang membuat persembahan itu berjaya dan mendoakan pencapaian baharu pada masa hadapan. – UTUSAN
DR. VICTOR A. POGADAEV
Bekas Pensyarah Universiti Malaya










