SAUDARA PENGARANG,
PAHANG adalah negeri paling luas di Semenanjung, maka terdapat banyak sungai. Sungai yang paling lebar dan terpanjang ialah Sungai Pahang sepanjang lebih 400 kilometer (km).
Selain itu, terdapat sungai sederhana besar seperti Sungai Kuantan, Sungai Rompin, Sungai Nenasi, Sungai Endau (bersempadan dengan Endau Johor), Sungai Bera, Sungai Triang, Sungai Semantan, Sungai Jelai, Sungai Lipis, Sungai Tahan, Sungai Bentong dan lain-lain.
Pada ketika ini beberapa daerah mendapat bekalan air bersih dari sumber air mentah Sungai Pahang manakala beberapa daerah lagi menggunakan sungai-sungai lain yang berdekatan dalam kawasan, bandar atau daerah berkenaan.
Saya merasakan kawasan Selatan Lembah Klang, Putrajaya, Cyberjaya, Negeri Sembilan dan Melaka juga mungkin akan menerima pertambahan penduduk yang mendadak dalam tempoh tiga dekad akan datang. Di samping Pahang menggunakan secara maksimum air mentah Sungai Pahang sebagai air terawat, elok juga jika salurkan ke kawasan yang memerlukan.
Secara kebetulan pula, Negeri Sembilan baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk membekalkan bekalan air ke bahagian utara Negeri Sembilan yang bersempadan dengan Pahang. Hampir sama kaedahnya penyaluran pembekalan air mentah dari Johor ke Singapura.
Sepertimana Pahang sedang dan telah bersedia untuk membekalkan air mentah ke Selangor melalui saluran paip dan terowong di Banjaran Titiwangsa yang menyalurkan air mentah dari Empangan Air di Lembah Klau di Raub ke Projek Langat 2 di Selangor, maka pihak berkenaan di peringkat Kerajaan Pusat seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kerajaan Negeri Pahang juga wajar mengkaji serta merancang mengenai saluran air mentah Sungai Pahang pula.
Pahang yang mewah dengan sumber air mentah dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai penduduk terutama yang sering berhadapan dengan masalah air bersih. Rasanya ia lebih berfaedah dari hanya melihat air sungai terus mengalir ke laut tanpa henti dan juga kadang kala banjir besar berlaku tanpa dapat diramal.
Dalam masa sama Kerajaan Negeri Pahang perlu meningkatkan perkhidmatan bekalan air untuk seluruh negeri itu dengan lebih cekap.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










