SAUDARA PENGARANG,
PERTABALAN Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang baharu merupakan peristiwa penting dalam sejarah Malaysia. Acara ini bukan sahaja menyambut pemimpin tertinggi negara, tetapi juga menjadi simbol kesetiaan rakyat kepada raja dan negara.
Kesetiaan ini telah menjadi asas kestabilan dan keharmonian negara sejak merdeka dan ia terus memainkan peranan penting dalam proses pembinaan negara bangsa.
Kesetiaan kepada raja dan negara bukan sekadar kata-kata, tetapi ia adalah satu amalan yang perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan. Bagi rakyat, kesetiaan ini adalah tanda hormat dan penghargaan kepada institusi diraja yang telah lama menjadi pelindung dan pemimpin negara. Institusi diraja bukan sahaja simbol warisan dan tradisi, tetapi juga lambang perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.
Dalam konteks Malaysia moden, YDPA memainkan peranan sebagai ketua negara yang memayungi semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kesetiaan kepada baginda adalah manifestasi kesetiaan kepada negara dan semua nilai-nilai yang diperjuangkan oleh negara.
Kesetiaan kepada raja dan negara juga bermaksud patuh kepada undang-undang dan perlembagaan.
Oleh itu, menghormati dan mentaati raja bermakna menghormati dan mentaati undang-undang negara. Ini adalah asas kepada kestabilan politik dan sosial yang kita nikmati hari ini.
Sebagai rakyat, kita harus memahami bahawa kesetiaan kepada raja dan negara adalah tanggungjawab dan kewajipan sebagai warganegara. Kesetiaan ini perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Antaranya dengan menyokong usaha-usaha kerajaan untuk memajukan negara, menghormati hak-hak dan kebebasan orang lain serta berusaha untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti.
Dalam era globalisasi dan dunia yang semakin mencabar ini, kesetiaan kepada raja dan negara adalah elemen penting dan perlu diutamakan. Ia adalah benteng pertahanan terhadap ancaman-ancaman luar dan dalaman yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan negara. Kesetiaan ini adalah asas kepada perpaduan dan kekuatan sebagai satu bangsa.
Kesetiaan ini adalah tanda hormat dan penghargaan kita kepada institusi diraja yang menjadi lambang perpaduan dan kestabilan negara. Kita harus berusaha untuk menerapkan nilai-nilai kesetiaan dalam setiap aspek kehidupan dan berusaha untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti. Keharmonian, kesetiaan , kestabilan menjadi tonggak utama dalam membawa masa depan Malaysia yang lebih gemilang demi kemakmuran kita bersama.-UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Kuala Lumpur










