MELIHAT senario politik yang berlaku kebelakangan ini, saya boleh katakan yang Kerajaan Madani punya masalah komunikasi.
Saya sangat teruja dan memuji setinggi langit Kerajaan Madani, namun sejak kebelakangan ini ia mengecewakan apabila kerajaan ini kerap kali melakukan pusingan U, sehingga saya sebagai penyokong kuat tidak mampu lagi untuk menyokong (back up) mereka dalam sesuatu isu sama ada di hadapan penyokong kuat pembangkang mahupun penyokong kerajaan hari ini.
Ternyata komunikasi dalam kerajaan ini tidak pernah konsisten. Mudah kata, cakap lain buatnya lain. Itulah masalahnya. Mungkin Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang dikata kurang berfungsi juga ‘hilang arah’.
Sebagai kerajaan, sepatutnya dapat berkomunikasi dengan lebih efektif, konsisten, lebih baik dan lebih teratur.
Cuba renungkan masa lalu, semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang amat berbeza dengan sekarang apabila berjaya berada dalam pentadbiran kerajaan sehingga dicop, ‘buka mulut sahaja bohong’.
Janji seperti menurun harga bahan api, sebelum ini juga pernah mengatakan rasionalisasi subsidi hanya berita palsu, tentang kontrak yang diterima suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannay Yeoh dan terbaharu, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menyebabkan pengundi PH tertanya-tanya apa yang sedang berlaku sekarang.
Apa yang berlaku dan apa yang pernah diperkatakan seperti tidak serupa bikin. Oleh sebab itu, berfikirlah semasak-masaknya sebelum bercakap kerana ia akan menjadi pertikaian apabila apa yang pernah disuarakan tidak dilaksanakan.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang










