SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan jaminan penempatan pengajian di peringkat lebih tinggi bagi pelajar yang memperoleh 10A dan ke atas dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
Pengumuman ini memberi harapan besar kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang sekaligus menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pendidikan yang lebih adil di Malaysia.
Dalam pada itu, pengumuman tersebut turut menegaskan bahawa kuota Bumiputera yang sedia ada akan dikekalkan dan tidak akan terjejas. Kementerian Pendidikan Tinggi mencadangkan agar pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di matrikulasi akan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dalam program asasi di universiti awam.
Pengumuman ini melibatkan konsep yang sangat penting iaitu konsep keadilan. Ramai yang tersalah faham berkenaan konsep keadilan dan menganggap keadilan itu menyamai konsep “pemberian sama rata kepada semua golongan”.
Konsep “pemberian sama rata kepada semua golongan” sebenarnya boleh menjurus kepada ketidakadilan atau kezaliman apabila pemberian sama rata diberikan kepada golongan yang memerlukan dan juga yang tidak memerlukan.
Pertama, keadilan bagi pelajar cemerlang semua kaum ialah dengan memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan potensi yang mereka miliki.
Menyelami Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia “adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu…” dan tidak menyebut identiti kaum tertentu.
Kedua, keadilan bagi golongan Bumiputera untuk mendapat kuota pendidikan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Data Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah 2022 (DOSM, 2023) menunjukkan golongan Bumiputera merupakan komposisi terbesar dalam kategori B40 dan miskin mutlak.
Justeru, usaha menyediakan penempatan kepada pelajar cemerlang bagi semua kaum di institusi pendidikan tinggi dan pengekalan sistem kuota Bumiputera, kedua-duanya adalah suatu bentuk keadilan.
Walau bagaimanapun, penelitian mendalam perlu dilakukan berkenaan implikasi untuk menegakkan kedua-dua bentuk keadilan ini. Jaminan tempat kepada semua pelajar cemerlang ini kemungkinan besar akan menyebabkan pertambahan bilangan pelajar bukan Bumiputera di matrikulasi dan program asasi universiti awam.
Sekiranya ini berlaku, pengambilan pelajar Bumiputera juga perlu ditambah untuk mengekalkan peratusan kuota Bumiputera sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam hal ini, peluang akan lebih terbuka kepada lepasan SPM lain untuk melanjutkan pelajaran.
Implikasinya, akan berlaku pertambahan bilangan keseluruhan pelajar yang mendadak. Situasi ini akan memberikan tanggungjawab yang besar kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam menyediakan keupayaan tenaga akademik dan fasiliti yang mencukupi bagi menjamin kualiti pendidikan di matrikulasi dan universiti awam tidak terjejas.
Sebagai tambahan, kerajaan dicadangkan untuk menegakkan keadilan peluang pendidikan ini secara berperingkat, bermula dengan memberi jaminan tempat kepada pelajar cemerlang bukan Bumiputera yang benar-benar mempunyai latar belakang sosioekonomi yang rendah.
Mereka ini lebih berhak mendapat kemudahan pendidikan di institusi-institusi tersebut. Manakala pelajar cemerlang bukan Bumiputra yang berkemampuan boleh mendapatkan peluang pendidikan di institusi swasta yang berkualiti.
Kriteria jaminan penempatan ini juga sedikit sebanyak akan dapat mengurangkan peningkatan jumlah kemasukan pelajar yang mendadak. – UTUSAN
DR. MOHD. MOKHTAR MUHAMAD
Pensyarah Kanan (Falsafah Pendidikan)
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM










