SAUDARA PENGARANG,
IKATAN Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menentang keras pembuatan dan penyiaran iklan produk wanita yang berunsur lucah dan menjelikkan seperti yang tular minggu lalu.
Taktik pemasaran murahan sebegini dilihat mengaibkan maruah di samping mengeksploitasi imej sehingga anggota badan wanita digambarkan hanya sebagai simbol seksual semata-mata.
Melihat percambahan iklan lucah yang menjadikan wanita sebagai objek seksual semata-mata, WAFIQ dalam Laporan Pihak Berkepentingan bagi Semakan Berkala Sejagat Pusingan Keempat yang diserahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOHCHR) membangkitkan isu seksualisasi dan eksploitasi wanita dan gadis dalam media dan pengiklanan.
Antara saranan yang dikemukakan agar kerajaan meminda Akta Iklan Sumbang 1953 (Akta 259), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) untuk memastikan kewujudan sistem yang lebih komprehensif bagi menggalakkan kerjasama antara kementerian-kementerian yang bertanggungjawab dalam memerangi bahan lucah.
Selain itu, WAFIQ turut menyatakan agar kerajaan mewujudkan hak ‘geo-block’ untuk menyekat perkhidmatan penstriman, Over The Top (OTT) berunsur lucah yang dilanggan daripada alamat protokol internet (IP) Malaysia, selain menyediakan prosedur komprehensif untuk memerangi promosi bahan hiperseksual kepada orang ramai.
Malangnya, saban tahun pengeluar produk seperti tidak segan malah sering pula menggunakan taktik pemasaran yang menjelikkan bagi mendapatkan perhatian umum. Untuk ini, WAFIQ menggesa kesemua pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengguna pakai teknik pemasaran sebegini.
Aktivis WAFIQ telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap iklan yang disiarkan secara terbuka di laman media sosial milik pengeluar produk yang terbabit.
WAFIQ mendesak agar suatu siasatan telus di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dapat disegerakan agar menjadi pengajaran.
WAFIQ juga menggesa pihak penguatkuasaan di setiap Majlis Agama Islam Negeri mengambil tindakan ke atas pempengaruh berkenaan atas tindakannya yang dapat ditafsirkan sebagai penyebab agama Islam dipandang hina.-UTUSAN
IKATAN WANITA ANTARABANGSA UNTUK INSTITUSI KELUARGA DAN PENDIDIKAN BERKUALITI (WAFIQ)
Kuala Lumpur










