Jangan abai potensi anak-anak pintar

Jangan abai potensi anak-anak pintar

BAKAT anak pintar akan lebih terserlah sekiranya mereka dikenalpasti dengan lebih awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANAK ialah anugerah yang tidak ternilai dan pastinya setiap anak yang dilahirkan mempunyai keistimewaan dan karakternya yang tersendiri.

Perkembangan anak adalah berbeza bagi setiap individu. Dari sudut kognitif, terdapat anak yang mampu menyelesaikan masalah yang kompleks dengan pantas dan mempunyai memori yang kuat apabila dibandingkan daripada rakan yang sebaya.

Ada juga antara mereka mempunyai tahap ingin tahu yang tinggi menyebabkan pelbagai persoalan bermain di fikiran. Ciri-ciri ini kebiasaanya dimiliki oleh anak yang pintar.
Masyarakat merujuk anak pintar apabila mempunyai tahap darjah kecerdasan (IQ) yang tinggi iaitu dengan skor 130 dan ke atas.

Menurut Dr. Francoys Gagne, kepintaran atau berbakat bermaksud kebolehan semula jadi yang luar biasa, digunakan tanpa latihan dan secara spontan sekurang-kurangnya dalam satu domain. Sebagai contoh, Stephen Hawking yang merupakan ahli fizik memiliki skor IQ 160.

Bakat anak pintar ini tidak akan terserlah sekiranya mereka tidak dikenalpasti dengan lebih awal. Sekiranya terdapat ciri-ciri anak pintar, ibu bapa atau guru perlulah membawa anak ini ke pusat-pusat kesihatan yang menawarkan kepakaran diagnosis tahap kognitif.

Ujian ini perlulah dikendalikan dan disahkan oleh golongan profesional seperti doktor pakar dan psikologi klinikal. Golongan profesional tidak bergantung pada satu ujian semata-mata, tetapi mereka akan menggabungkan beberapa ujian dan pemerhatian ke atas anak ini bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.

Selain itu, ujian saringan yang banyak terdapat dalam talian dapat membantu dalam menganggar kebarangkalian anak tersebut ialah anak pintar.

Anak yang mempunyai kepintaran yang tinggi memerlukan sistem sokongan khas untuk memastikan bakat mereka tidak disia-siakan.

Jika tidak, mereka akan mengalami isu keciciran dan masalah dalam pembelajaran sekiranya tidak mendapat sokongan pendidikan yang sesuai kerana kekurangan cabaran dalam kurikulum, kebosanan atau tidak diiktiraf dan disokong oleh guru dan ibu bapa.

Justeru, ibu bapa perlu cakna akan perkembangan kognitif anak agar mereka mendapat keperluan pendidikan yang sesuai seterusnya menyerlahkan bakat kepintaran mereka. – UTUSAN

DR. NUR FAZIDAH ASMUJE
dan WAN ARISHA AMIRAH BINTI WAN MOHD ZAMRI
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×