SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH merupakan institusi penting dalam membentuk keperibadian dan kecemerlangan akademik pelajar. Namun, masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan sekolah adalah jadual aktiviti yang bertindan seperti aktiviti sukan, peperiksaan, ceramah dan lain-lain. Keadaan ini sering menyebabkan perjalanan sekolah menjadi kucar-kacir dan pelajar serta guru terpaksa berhadapan dengan tekanan yang tidak sepatutnya.
Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu lebih sensitif terhadap isu ini. Mereka seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan jadual aktiviti sekolah dirancang dengan teliti dan tidak bertindan.
Perancangan yang baik bukan sahaja memudahkan guru dan pelajar tetapi juga memastikan aktiviti-aktiviti yang dirancang mencapai objektifnya dengan berkesan.
Cadangan bernas adalah memperkenalkan sistem perancangan aktiviti tahunan yang lebih komprehensif. Setiap sekolah perlu menyediakan pelan tahunan yang jelas dan terperinci mengandungi semua aktiviti yang akan dijalankan sepanjang tahun. Pelan ini perlu dibentangkan dan dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat termasuk guru, pentadbir sekolah dan wakil PPD atau JPN.
Selain itu, KPM boleh mempertimbangkan penggunaan teknologi dalam menguruskan jadual aktiviti sekolah. Penggunaan sistem pengurusan digital yang dapat mengesan dan memberi amaran awal kemungkinan wujud pertindihan aktiviti. Ini membantu dalam perancangan yang lebih efektif. Sistem ini juga boleh diakses oleh semua pihak yang terlibat untuk memastikan komunikasi yang jelas dan pengurusan yang lebih baik.
Di samping itu, setiap sekolah perlu mengamalkan prinsip fleksibiliti dalam perancangan aktiviti. Walaupun perancangan tahunan adalah penting, terdapat keperluan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Sekolah perlu mempunyai pelan kontingensi untuk menghadapi sebarang perubahan atau keperluan mendesak. Ini dapat mengelakkan kekeliruan dan memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar.
Dalam memastikan perancangan aktiviti yang lebih tersusun, peranan guru juga tidak boleh diabaikan. Guru perlu dilibatkan dalam proses perancangan dari peringkat awal. Pandangan dan pengalaman mereka sangat berharga dalam mengenal pasti masa yang sesuai untuk mengadakan aktiviti tertentu tanpa menjejaskan pembelajaran pelajar. Dengan penglibatan guru, perancangan yang dibuat akan lebih praktikal dan realistik.
Akhir sekali, KPM, JPN, dan PPD perlu sentiasa memantau dan menilai keberkesanan perancangan yang dibuat. Sesi penilaian berkala boleh diadakan. Maklum balas daripada guru, pelaja, dan ibu bapa perlu diambil kira untuk penambahbaikan pada masa hadapan.-UTUSAN
AZLIZA A.R
Parit Sulong, Batu Pahat










