SAUDARA PENGARANG,
BAGI melahirkan generasi berilmu, pendidikan merupakan aspek utama yang perlu diberi penekanan. Melalui sistem pendidikan yang berkualiti, pelajar dapat mengembangkan kemahiran kritikal, kreativiti dan berkemampuan beradaptasi dengan segala perubahan.
Apabila penekanan diberikan kepada pendidikan, secara tidak langsung ia akan melahirkan generasi yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi yang mampu berfikir secara analitis dan membuat keputusan yang tepat.
Generasi berilmu juga perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni dan kemahiran kepimpinan. Integriti, disiplin yang tinggi, bertanggungjawab dan semangat bekerjasama merupakan nilai yang perlu diterapkan sejak dari awal lagi. Kemahiran kepimpinan yang beretika dan bertanggungjawab adalah kunci kepada pembentukan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing. Dalam melahirkan generasi berkepimpinan yang mempunyai segala aspek, program-program pembangunan kepimpinan perlu dilakukan secara berkala untuk melatih generasi muda dalam kemahiran kepimpinan dan pengurusan.
Sokongan dan dukungan dari kerajaan dan masyarakat juga penting dalam membantu negara melahirkan generasi yang berilmu. Polisi pendidikan yang inklusif dan menyeluruh perlu digubal dan dilaksanakan dengan berkesan. Kerjasama antara pelbagai sektor dan agensi perlu diperkukuhkan dalam usaha melahirkan generasi berilmu yang berdaya saing. Dalam pada itu, masyarakat juga perlu memberi sokongan padu kepada usaha dalam memperkukuhkan lagi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan.
Justeru, dalam melahirkan generasi yang berilmu pendekatan seperti mewujudkan satu sistem pendidikan yang berkualiti, pendedahan kepada teknologi dan inovasi serta penerapan nilai murni perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Segala usaha ini memerlukan kerjasama dan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan masa depan negara yang lebih cemerlang dan terbilang. – UTUSAN
DR. MOHD RAHIM BIN KHAMIS
Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Puncak Alam, Kampus Selangor










