SAUDARA PENGARANG,
SETIAP orang mengimpikan kehidupan yang terbaik sepanjang perjalanan hidup. Salah satu cara meningkatkan kualiti hidup adalah melalui pendidikan. Perlu diakui bahawa pendidikan merupakan elemen utama dalam pengukuran tahap ketinggian ilmu seseorang.
Orang terdahulu sentiasa menyebut ungkapan “belajar bersungguh-sungguh, nanti hidup senang”. Rata-rata golongan kebanyakan mampu mengubah kehidupan hanya melalui pendidikan. Pihak kerajaan turut memberi sokongan kepada semua masyarakat yang berminat untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat menerusi konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).
PSH adalah agenda penting yangndiperkenalkan di peringkat antarabangsa melalui United Nation Sustainable Development Goals 2030 (SDG2030). Pembudayaan PSH diyakini berupaya melahirkan masyarakat Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri ke-10 menerusi pengukuhan literasi, kemahiran dan ilmu pengetahuan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selaku agensi utama dalam menggerakkan agenda PSH peringkat nasional memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pendidikan lanjutan menerusi konsep PSH dan ia berpotensi memberi impak dalam meningkatkan mutu dan kualiti hidup selain memberikan peluang pendapatan setara dengan peningkatan tahap pencapaian ilmu dan kemahiran yang dimiliki. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menubuhkan pusat khas iaitu UMT Life yang bertindak sebagai platform pemudah cara bagi masyarakat umum untuk mendapatkan pendidikan lanjutan.
Penubuhan pusat itu sejajar dengan aspirasi PSH nasional yang merupakan tonggak ketiga dalam pembangunan modal insan negara. Aspirasi ini telah dijustifikasikan melalui dokumen Pelan Induk Pembudayaan Pembelajaran Sepanjang Hayat Peringkat Nasional 2011-2022.
UMT sangat berbesar hati menerima pelajar dengan kelulusan APEL kerana UMT menyokong penuh usaha negara dalam membina masyarakat berilmu, peribelajar, maju dan berdaya saing dengan menyediakan peluang untuk terus menyambung pengajian di universiti walaupun tidak mempunyai kelayakan formal melalui pengiktirafan pengalaman terdahulu. – UTUSAN
AMIRUL SALAM HASAN
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu










