Budaya, kesedaran kritikal dalam pendidikan negara

Budaya, kesedaran kritikal dalam pendidikan negara

PELAJAR akan menjadi lebih bermotivasi apabila tugasan yang diberikan berkait dengan kehidupan mereka. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TANGGUNGJAWAB seorang guru bukanlah untuk menyelamatkan pelajar dari kesusahan yang sedang dihadapi tetapi lebih berperanan sebagai pemudah cara kepada pembangunan sahsiah dan identiti seorang pelajar.

Perkara ini tidak mampu dicapai kalau hanya bergantung dan mengikuti buku teks semata-mata, sebaliknya ia dibentuk melalui penghayatan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), Falsafah Pendidikan, dan Culturally Responsive Pedagogy (CRP) atau terma lainnya Pedagogi Responsif Budaya.

DSKP berperanan meletakkan standard prestasi, standard kandungan, dan standard pembelajaran yang harus dicapai oleh pelajar pada sesuatu darjah atau tingkatan. Manakala Falsafah Pendidikan menggariskan matlamat akhir yang sepatutnya dicapai melalui pembangunan modal insan sewaktu tamat sesi persekolahan.

CRP juga mesti ditekankan sewaktu proses pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC), iaitu merujuk kepada proses menghubungkaitkan pengajaran kepada adat, pengalaman serta sudut pandang yang dialami oleh pelajar di luar kelas.

Amalan ini bukan sahaja berpotensi untuk menjadikan sesuatu subjek itu relevan kepada pelajar, malah telah dibuktikan dalam pelbagai kajian bahawa CRP membawa impak yang positif terhadap pencapaian akademik pelajar. Kajian lain turut menyatakan bahawa pelajar akan menjadi lebih fokus serta berlaku peningkatan penglibatan murid dalam kelas apabila arahan dibuat berdasarkan latar pelajar tersebut. Bukan sekadar itu, dibuktikan juga bahawa pelajar akan menjadi lebih bermotivasi dan dapat membentuk keberkesanan kendiri apabila tugasan yang diberikan berkait dengan kehidupan mereka berbanding contoh yang tidak berkait.

Pembudayaan praktis ini bukanlah sesuatu yang baharu malah semakin digunakan oleh masyarakat antarabangsa sejak dua dekad ini. Namun begitu, di Malaysia masih kurang pendedahan mengenainya.

Tiga komponen utama yang ditekankan dalam pengamalan CRP adalah pembelajaran pelajar, kecekapan budaya dan kesedaran kritikal. Komponen pertama, pembelajaran pelajar, menyatakan bahawa tanggungjawab guru adalah untuk membina intelektual pelajar. Justeru itu, guru harus menetapkan sasaran akademik yang tinggi dan jelas sepadan dengan tahap pelajar. Guru perlu menguasai kandungan yang diajar, mengenali pelajar dan mengetahui cara mengajar kandungan tersebut kepada pelajar.

Kecekapan budaya pula memerlukan guru untuk mendalami budaya dan komuniti pelajar mereka, serta keistimewaan komuniti tersebut untuk menguatkan amalan pengajaran secara lebih kritikal. Hal ini sehingga kelas boleh digambarkan seperti penuh dengan cermin dan tingkap, iaitu pelajar dapat melihat refleksi diri sendiri di cermin dan mempunyai peluang untuk belajar perspektif berbeza masyarakat luar melalui tingkap.

Yang ketiga, iaitu kesedaran kritikal, memerlukan guru untuk mendidik diri sendiri dan pelajar mengenai isu-isu setempat yang memberi kesan kepada pelajar dan komuniti berdekatan. Ini bermaksud guru akan menggalakkan pelajar untuk mengenal pasti, menganalisis dan menyelesaikan masalah yang berlaku serta menjadikan pelajar sebagai agen perubahan dan transformasi sosial kepada komuniti mereka.

Guru merupakan insan yang ada kuasa untuk mengubah kehidupan pelajar. Justeru itu, sebagai guru di negara yang mempunyai latar belakang majmuk, kita dituntut untuk melaksanakan pembelajaran berdasarkan CRP agar dapat mewujudkan pengajaran yang lebih berkesan serta membantu para pelajar untuk lebih mengenali budaya mereka sendiri dan budaya masyarakat di sekeliling mereka. – UTUSAN

DANIAL FAROOK
Guru di Sekolah Orang Asli

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN