SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak untuk segera membanteras dan mengambil tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram di negara ini.
Baru-baru ini, dua kanak-kanak lelaki terkorban akibat memakan keropok yang dicampur dengan racun tikus.
Bungkusan racun kosong yang dibuka dan tertera tulisan Cina ditemui pasukan Kementerian Kesihatan yang melakukan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian. Tinjauan yang dijalankan oleh CAP selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa racun makhluk perosak haram masih dijual secara terbuka di pasaran di Pulau Pinang dan Baling, Kedah.
Racun makhluk perosak ini yang kebanyakannya dari China tidak mendedahkan bahan kimia aktif pada label. Ia juga tidak mempunyai penerangan atau arahan yang mencukupi bagi pengendalian, penggunaan atau penyimpanan, ini merupakan satu pelanggaran Kod Etika Antarabangsa mengenai Pengurusan Racun Makhluk Perosak dan Akta Racun Makhluk Perosak 1974.
Racun makhluk perosak ini boleh dibeli dari kedai yang menjual bahan kimia pertanian. Seliter racun itu dijual dengan harga RM32 dalam botol tidak berlabel selain mudah didapati secara dalam talian.
Laporan Rangkaian Tindakan Racun Makhluk Perosak Asia dan Pasifik (PANAP) 2023 memperincikan bagaimana kelemahan kawal selia membenarkan penjualan Racun Makhluk Perosak Sangat Berbahaya (HHP) di Malaysia.
Siasatan PANAP mendedahkan bahawa tiga HHP yang diharamkan (paraquat, endosulfan, dan profenophos) di Malaysia dijual secara terbuka di platform e-dagang.
Memandangkan itu, CAP menggesa Lembaga Racun Makhluk Perosak untuk mengambil tindakan keras terhadap penjualan racun makhluk perosak haram di negara ini, menguatkuasakan dengan tegas Akta Racun Perosak 1974, mendidik petani mengenai kesihatan dan kesan alam sekitar daripada racun selain menyediakan cara yang lebih selamat untuk menghapuskan makhluk perosak seperti ternakan itik di sawah padi.
Agroekologi atau pertanian yang menggantikan bahan kimia toksik dengan amalan yang selaras dengan alam semula jadi perlu diiktiraf, diutamakan dan disokong sebagai amalan pertanian yang baik.
Agroekologi telah terbukti menghasilkan hasil pertanian yang lebih selamat, bukan hanya untuk pengguna tempatan dan pasaran eksport.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna
Pulau Pinang (CAP)










