SAUDARA PENGARANG,
SAYA ada terbaca di mana China menggunakan tentera untuk mendisiplinkan pelajar atau orang dewasa atau orang tua yang malas untuk bekerja, belajar, malas untuk mengemas rumah, malas untuk membantu ibu bapa dan hanya duduk bermain telefon dan gajet.
Ibu bapa atau guru akan menelefon pihak tentera dan mereka akan datang untuk mengambil pelajar yang degil, selalu ponteng kelas, tidak buat kerja rumah untuk dibawa ke kem untuk disiplinkan selama beberapa waktu.
Selama ini pihak kaunseling sekolah tidak berjaya sepenuhnya menangani pelajar yang ada masalah di rumah dengan ibu bapa, masalah kerja sekolah tidak buat, selalu ponteng, mencuri, bergaduh.
Masalah mental dalam kalangan pelajar mahupun orang dewasa pula patut ditangani seperti negara barat di mana bila ibu bapa menelefon Kementerian Kesihatan, mereka akan datang menangkap mangsa untuk dipulihkan.
Ini pihak Kementerian Kesihatan menyuruh ibu membawa anak atau suami yang ada masalah mental secara sukarela ke klinik atau hospital.
Mereka akan mengamuk dan ditakuti akan mencederakan si ibu. Saya berharap sangat Kementerian Kesihatan akan membantu rakyat dengan cara bila mereka menelefon dan mengatakan anak lelaki atau suami mengancam nyawa dengan membaling barang, menumbuk dinding, pegang kayu nak pukul ibu, mereka akan datang membantu. – UTUSAN
AMEERA
Kuala Lumpur










