SAUDARA PENGARANG,
SAYA amat menyokong pengumuman terbaharu yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Ia merupakan berita yang cukup menggembirakan apabila Kementerian Kesihatan kini dalam perancangan untuk menyediakan vaksinasi influenza tahunan percuma untuk warga emas di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, bermula 2025.
Tindakan ini diambil hampir setahun selepas Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG) bersama organisasi rakan kongsi seperti Persatuan Perubatan Geriatrik Malaysia (MSGM), Akademi Pakar Perubatan Keluarga Malaysia dan lebih 30 organisasi lain mengemukakan petisyen untuk meminta kerajaan membiayai vaksinasi influenza tahunan bagi warga emas yang merupakan kumpulan rentan terhadap komplikasi berkaitan influenza.
Ini merupakan sesuatu yang amat penting kerana warga emas sering kali mengalami penurunan imuniti seiring dengan usia mereka dan bukan seperti orang dewasa lain yang sihat. Mereka tidak menunjukkan gejala biasa apabila dijangkiti influenza sebaliknya, mereka mungkin akan mengalami gejala lain seperti penurunan kesihatan keseluruhan, serangan jantung atau strok dan sebagainya.
Influenza jauh lebih serius daripada demam biasa. Ia bukan sekadar selesema biasa. Malah, boleh membawa maut. Walaupun semua orang, termasuk golongan muda dan sihat berisiko dijangkiti influenza, ia sering memberi kesan yang lebih serius kepada warga emas. Hanya satu jangkitan sahaja sudah cukup untuk meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 10 kali ganda dan strok (disebabkan oleh pembekuan darah) sebanyak lapan kali ganda.
Warga emas kita juga lebih cenderung mengalami komplikasi seperti pneumonia, keradangan jantung dan sepsis. Malah, warga emas yang berumur 65 tahun ke atas merangkumi sehingga 70 peratus daripada kemasukan ke hospital dan 85 peratus daripada kematian yang berkaitan dengan influenza.
Risiko kematian berkaitan influenza meningkat sebanyak 20 kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru, lima kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit jantung dan tiga kali ganda bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis. Selain itu, jangkitan influenza boleh memburukkan atau merumitkan gejala penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti memburukkan simptom kencing manis dan menyebabkan tahap glukosa seseorang tidak seimbang.
Menyedari risiko-risiko yang pelbagai ini, negara-negara lain termasuk Thailand, Laos, Filipina dan Singapura, telah pun mula menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas mereka.
Malaysia kini menuju untuk menjadi salah satu negara menua menjelang 2030 dengan 15.3 peratus daripada populasi berusia 60 tahun ke atas dan oleh itu, beban influenza terhadap warga emas adalah satu isu kesihatan awam yang tidak boleh diabaikan lagi.
Bagi mewujudkan asas kepada program vaksinasi yang berjaya dan luas diterima, lebih banyak kempen pendidikan yang intensif diperlukan, yang direka secara strategik untuk menangani tanggapan salah sekali gus mengurangkan kebimbangan mereka.
Sebagai salah seorang barisan hadapan yang menyaksikan sendiri kesan risiko tinggi dan komplikasi daripada influenza dalam kalangan warga emas, saya menyeru seluruh komuniti profesional kesihatan untuk terus bertindak dengan menyokong dan memainkan peranan aktif untuk mendidik serta menggalakkan vaksinasi influenza tahunan, terutamanya dalam kalangan populasi yang rentan ini.-UTUSAN
PROFESOR DR. ZAMBERI SEKAWI
Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia (MIWG)









