SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin menyarankan agar kerajaan mewujudkan undang-undang lebih tegas dalam menangani isu berkaitan akta hasutan yang menunjukkan trend semakin membimbangkan dan berleluasa di negara ini.
Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk mengkaji dan menggubal rang undang-undang yang lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan sebarang kecenderungan menghasut untuk membawa kebencian atau penghinaan terhadap hak keistimewaan orang Melayu, institusi raja-raja Melayu atau kerajaan.
Antara yang boleh dipertimbangkan ialah melaksanakan satu jawatankuasa khas sebagai usaha lebih kepada komprehensif untuk mencegah bagi memantau dan menangani sebarang penyebaran diskriminasi yang bermotifkan api perkauman dan ekstremisme yang menyentuh sensitiviti kaum, agama, institusi diraja (3R).
Kajian mendapati walaupun rang undang-undang yang sedia ada di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sudah ditetapkan, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang menyalahgunakan hak kebebasan bersuara dengan membuat penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi raja melalui media sosial.
Susulan sejak kebelakangan ini, kita melihat pelbagai tohmahan kebencian atau kenyataan fitnah tidak berasas yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak tertentu sehingga mampu mengganggu gugat demokrasi negara.
Saya menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh atas usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, serta Jemaah Menteri yang memberi persetujuan untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan bagi mengekang provokasi terhadap isu 3R.
Saya sentiasa peka terhadap perkara ini, menyarankan serta mencadangkan agar kerajaan dapat menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau, mengkaji semula undang-undang dalam akta tersebut bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi sebagai usaha mencegah sebarang penyebaran diskriminasi bermotifkan api perkauman dan ekstremisme yang menyentuh isu 3R.
Berdasarkan pemantauan saya beberapa bulan ini sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dibendung dan diambil tindakan dengan segera dikhuatiri akan menimbulkan perpecahan dan ketidaktenteraman selain mewujudkan keadaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat dalam negara.-UTUSAN
MOHAMMAD IRFAN MOHD. HALMI
Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Kota Bharu, Kelantan










