Teruskan berjimat ketika harga getah naik

Teruskan berjimat ketika harga getah naik

SEMUA pihak termasuk kerajaan dan agensi-agensinya yang berkaitan perlu memainkan peranan lebih berkesan untuk menentukan kenaikan harga getah sekarang boleh bertahan lebih lama. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENAIKAN harga getah hingga mencecah RM4 sekilogram sejak kebelakangan ini perlu diterima dengan penuh syukur oleh para penoreh getah di negara ini.

Berdasarkan kepada pengalaman pada masa lalu, kebiasaannya kenaikan harga tersebut tidak bertahan lama dan mungkin akan turun sedikit demi sedikit.

Dengan sebab demikianlah, semasa harga masih bertahan antara RM3.80 hingga RM4 sekilogram sekarang, para penoreh getah harus pandai berjimat.

Mereka sudah tentu dapat merasai keperitan berbelanja semasa harga getah berada pada paras bawah RM3 sekilogram menyebabkan ramai penoreh getah berhenti menoreh.

Paling penting setiap penoreh getah di negara ini perlu pandai mengatur perbelanjaan bagi memastikan wang yang banyak diperoleh tidak dibelanjakan semuanya.

Apa yang penting mereka hendaklah menyimpan sedikit sebanyak wang yang diperoleh itu supaya dapat digunakan sekiranya harga getah kembali menurun.

Sementara itu, semua pihak termasuk kerajaan dan agensi-agensinya yang berkaitan perlu memainkan peranan lebih berkesan untuk menentukan kenaikan harga getah sekarang boleh bertahan lebih lama.

Kita tidak mahu para penoreh getah kecewa lagi hingga menyebabkan pokok-pokok getah terus terbiar sebagaimana dirasai pada masa lalu.

Penoreh getah merupakan tulang belakang industri tanaman getah negara yang sekian lama dikenali sebagai salah sebuah negara pengeluar getah utama dunia.

Biarlah mereka kekal memajukan tanaman getah masing-masing dengan menjaganya agar sentiasa berkeadaan baik tanpa membiarkan kebun masing-masing dinaiki semak samun.-UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN