SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap bakal diadakan pada 6 Julai ini berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Nor Zamri Latiff (Pas) pada 24 Mei lalu.
Melihat kepada seluruh komitmen Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing akan meletakkan calon yang mampu memberikan kesan besar terhadap sokongan undi sama ada mengekalkan kerusi yang pernah disandang Pas ataupun mampu memberikan cabaran hebat buat calon PKR.
PRK ini sudah tentu bukan pertandingan biasa memandangkan calon Kerajaan Perpaduan sedia ada di peringkat Pusat dan negeri mencatatkan perkembangan kemajuan yang positif selama mentadbir hampir dua tahun selain berjaya menarik pelabur antarabangsa dan domestik sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lalu.
Manakala bagi suku pertama tahun ini pula telah memecah rekod sebanyak RM76.1 bilion. Selain itu, keupayaan Kerajaan Perpaduan melaksanakan reformasi terhadap tata kelola menampakkan hasil yang lebih baik apabila kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM91.4 billion pada 2023, lebih rendah berbanding 5.6 peratus atau RM99.5 billion yang dicatat pada 2022, menurut Kementerian Kewangan.
Selain menarik pelaburan tinggi, kejayaan Kerajaan Perpaduan berjaya mereformasikan struktur sosial hidup rakyat melalui dasar dan program yang mampu mengangkat maruah rakyat seperti pelaksanaan gaji progresif, semakan kenaikan gaji penjawat awam, subsidi bersasar, bantuan persekolahan, peningkatan bonus bagi penjawat awam, program jualan Rahmah, Ihsan dan Madani selain membaik pulih perumahan penjawat awam polis, tentera, klinik, sekolah dan lain-lain lagi bagi memastikan agenda memperkasakan sistem sosial sentiasa menjadi keutamaan.
Justeru, PRK ini menjadi medan sejarah pertempuran luar biasa bagi melihat sejauh mana pengundi Melayu terutamanya yakin terhadap kemampuan calon daripada Kerajaan Perpaduan untuk melonjakkan kemajuan negeri seiring dengan pencapaian Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN
DR. ZURAIMY ALI
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis










