SAUDARA PENGARANG,
REVOLUSI pendidikan yang masih menggunakan tenaga manusia wajar dipertimbangkan bagi menaiktaraf ekosistem pendidikan di peringkat universiti. Manfaat keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang melampaui kecerdasan manusia mampu membantu bidang kemanusiaan dengan kepesatan teknologi.
Dalam hal ini, penggunaan teknologi AI perlu dipertimbangkan bagi menyelaras dan menambahbaik sistem pendidikan yang holistik seiring dengan kemajuan negara Barat.
Sistem pendidikan yang bertunjangkan teknologi digital berpotensi untuk bersaing dengan kemajuan negara luar seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Finland terutama dalam bidang sains dan matematik.
Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) menunjukkan era baharu evolusi industri melalui teknik digital dan fizikal yang lebih pantas. Komponen utama bagi IR4.0 adalah AI, internet kebendaan (IoT), robotik, pengkomputeran kuantum, blockchain dan data raya. Kesemua teknologi ini berperanan penting dalam mengubah cara industri beroperasi dan memberi impak besar kepada ekonomi dan masyarakat.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua institusi termasuk universiti untuk membina ekosistem AI bagi memperkasakan teknologi di Malaysia kerana ia berpotensi untuk membangunkan pelbagai bidang seperti perubatan.
Namun, sistem pendidikan tradisional institusi pendidikan berdepan jurang kualiti dan aksesibiliti yang signifikan, kekangan sumber dan pakar terhadap sesuatu bidang. Jadi, dengan pengenalan AI dalam institusi pendidikan tinggi (IPT) seperti ChatGPT, OpenAI dan sebagainya dapat membantu pendidikan dan cara pemikiran pelajar.
Penerapan AI boleh mencipta sistem pendidikan yang lebih adaktif, inklusif dan berkualiti tinggi. AI bukan sahaja membantu dalam penjimatan masa namun ia juga memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang progresif dalam menghasilkan idea baharu untuk masa depan.
Penggunaan AI dalam juga memberi perubahan transformasi positif dan dilengkapi dengan suasana pembelajaran yang dinamik. Kemasukan teknologi ini dapat membantu dalam menambah baik proses penyampaian pengajaran kepada pelajar.
Perubahan teknologi moden ini dapat meningkatkan motivasi pelajar, kualiti pengajaran dan kemudahan dalam akses pendidikan.
Transformasi seperti ini menyebabkan Malaysia berpotensi untuk memperkuat daya saingnya dalam bidang pendidikan sekali gus menjadikan negara ini sejajar dengan kualiti pengetahuan peringkat global.-UTUSAN
NUR SHAKIRAH JAMIL
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










