SAUDARA PENGARANG,
SEKALI lagi, negara dikejutkan oleh kematian akibat keracunan makanan di sekolah. Seorang pelajar tingkatan lima dan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia baru-baru ini akibat keracunan makanan dari sekolah yang sama. Kedua-dua mangsa meninggal dunia dua hari selepas dipercayai memakan bihun dan telur goreng tercemar dari program di sebuah sekolah agama di Sungai Cincin, Gombak.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut memaklumkan bahawa 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas menikmati sarapan.
Bulan April lalu, kira-kira 20 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di bandar ini menerima rawatan selepas disyaki mengalami keracunan makanan. Seramai lapan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan dikejarkan ke Hospital Melaka selepas mengalami keracunan makanan yang disyaki berpunca dari hidangan nasi goreng di kantin sekolah.
Keracunan makanan di kantin sekolah memerlukan tindakan segera dan bersepadu oleh pihak berkuasa. Pihak berkuasa kesihatan dan sekolah perlu meningkatkan pengawasan dan pemantauan terhadap kantin sekolah melalui pemeriksaan berkala dan tidak berkala. Sikap tegas dan konsisten dalam pengawasan akan memastikan tahap kebersihan yang tinggi di kantin sekolah.
Semua pekerja kantin perlu menjalani latihan berkala dalam pengendalian makanan yang selamat, termasuk teknik pembersihan, penyimpanan makanan yang betul dan pencegahan pencemaran silang. Latihan ini boleh dijalankan oleh pihak berkuasa kesihatan atau institusi yang diiktiraf.
Penguatkuasaan undang-undang dan peraturan yang ketat adalah penting untuk memastikan semua kantin sekolah mematuhi standard keselamatan makanan. Tindakan tegas seperti denda atau penutupan kantin perlu diambil terhadap pelanggaran peraturan. Jika melibatkan tempahan dari luar sepatutnya turut perlu mematuhi standard keselamatan makanan.
Pelajar dan guru perlu diberi pendidikan mengenai keselamatan makanan dan langkah-langkah yang perlu diambil jika terdapat simptom tersebut. Program kesedaran dan ceramah oleh pakar kesihatan boleh membantu dalam hal ini.
Kantin sekolah perlu dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap dan bersih, seperti bekalan air bersih, peti sejuk dan peralatan memasak yang bersih. Pihak sekolah perlu memastikan semua kemudahan ini berfungsi dengan baik dan diselenggara secara berkala.
Pihak berkuasa kesihatan boleh menjalankan audit keselamatan makanan di kantin sekolah. Audit ini melibatkan penilaian menyeluruh terhadap semua aspek pengendalian makanan. Hasil audit perlu digunakan untuk menambah baik prosedur dan amalan pengendalian makanan di kantin.
Pihak berkuasa perlu mewujudkan sistem amaran awal untuk memantau dan melaporkan kes-kes keracunan makanan dengan cepat. Sistem ini membolehkan tindakan segera diambil untuk mengelakkan penularan keracunan makanan kepada pelajar lain dan mengenal pasti punca keracunan dengan lebih cepat.
Keracunan makanan di kantin sekolah adalah isu yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu. Sikap sambil lewa terhadap kebersihan, penyimpanan dan penyediaan makanan, penggunaan bahan mentah yang tercemar, serta pengendalian makanan yang tidak betul perlu diubah.
Pihak berkuasa kesihatan, sekolah, dan komuniti perlu bekerjasama dalam mengambil langkah-langkah pencegahan. Dengan usaha bersama dan sikap yang bertanggungjawab, keselamatan makanan di kantin sekolah dapat dipastikan dan kesihatan serta kesejahteraan pelajar dapat dilindungi. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD NIZAM NAZARUDIN
Pusat Kajian Pendidikan dan kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia










