Negara bukan sahaja memerlukan pengurus yang bagus untuk mengurus sumber kekayaan negara, malah negara memerlukannya dalam jumlah yang ramai.
Siapa pun boleh ‘AI’ (kecerdasan buatan) masalah ini, saya merumuskan bahawa peranan seorang pengurus bukan sahaja soal menguasai kemahiran sesuatu bidang tugas, sebaliknya wajib mempunyai kemampuan memimpin dengan betul.
Justeru, negara memerlukan pengurus yang juga kumpulan pemimpin yang tahu menggerakkan usaha penyelesaian terhadap masalah, agar sumber kekayaan negara dapat diurus dan ditadbir dengan cekap dan betul.
Kita boleh tempelak semua dasar dan slogan ini sebagai retorik politik, namun semua ini adalah usaha kerajaan untuk memajukan negara yang dizahirkan menerusi ‘tagline’ yang lebih mudah diingat dan difahami oleh rakyat.
Di zaman Bersih, Cekap, Amanah (BCA) (1983-2003), cukup banyak ilmu dan kemahiran mengenai pengurusan dibawa masuk ke dalam negara khususnya daripada Jepun dan Korea. Ilmu dan kemahiran mengurus ini diterjemahkan untuk melahirkan ‘pengurus’ yang bagus, yang akan berkhidmat di dalam sektor awam dan juga swasta.
Impaknya ialah perubahan kualiti kerja, peningkatan kemahiran dalam kalangan rakyat, maka muncullah pemuka-pemuka dalam bidang masing-masing.
Berbanding Islam Hadhari, 1Malaysia, Kerajaan Prihatin dan Kerajaan Madani, ia adalah sebuah slogan yang bersifat teori dan konsep yang subjektif. Ia suatu slogan fantasi yang hanya untuk meniup semangat dengan kekosongan imaginasi.
Memahami peranan dari makalah Al-Imam yang mula diterbitkan pada 1906 yang menjadi wahana bagi menyedarkan bangsa Melayu dan umat Islam untuk bangkit bekerja menguasai ilmu pengetahuan, keluar dari kepompong khayalan.
Ketika itu, Al-Imam berasa bertanggungjawab untuk mencegah orang Melayu terutama golongan pembesar daripada khayalan dan kelalaian yang menyebabkan kemunduran dan kehinaan bangs dan tanah airnya.
Pada awal 1900-an lagi, Al-Imam menyeru orang Melayu supaya menoleh ke negeri Jepun. Rakyat Jepun menerima perubahan atau menjalankan islah dalam bidang politik, ekonomi dan juga pertahanan, tetapi masih tetap dengan agama mereka.
Walau agama apa pun yang mungkin dianuti bangsa Jepun itu, namun ia tetap akan maju seperti itu juga.
Mungkin secara kebetulan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika 1982, terus meletakkan asas Pandang Ke Timur dan seterusnya menerapkan BCA sebagai teras perubahan sikap orang Melayu untuk menjadi pengurus yang bagus, yang memimpin perubahan negara. Sebab itulah akhbar yang diterbitkan dinamakan Al-Imam (Pemimpin).-UTUSAN
MAHDZIR IBRAHIM
Pendukung semangat nasionalisme










