SAUDARA PENGARANG,
DALAM sesi soal jawab di laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 21 Februari 2023 mentakrifkan stres atau tekanan sebagai keadaan bimbang atau ketegangan mental yang disebabkan oleh situasi yang sukar. Tekanan adalah tindak balas semula jadi manusia yang mendorong kita untuk menangani cabaran dan ancaman dalam kehidupan kita. Setiap orang mengalami tekanan pada tahap tertentu. Walaubagaimanapun, cara kita bertindak balas terhadap tekanan, membuat perbezaan besar kepada kesejahteraan hidup kita.
Kita selalu melihat stres sebagai suatu keadaan negatif. Hakikatnya, terdapat dua jenis stres iaitu stres yang baik atau eustress ialah jenis tekanan yang anda rasa apabila anda teruja. Manakala distress pula ialah yang tekanan yang memberi tindak balas negatif.
Menurut American Psychological Association APA Dictionary of Psychology, eustress tindak balas tekanan yang positif, melibatkan tahap rangsangan yang optimum. Ia adalah sejenis tekanan yang terhasil daripada tugas yang mencabar tetapi boleh dicapai dan menyeronokkan atau berbaloi seperti menyertai acara olahraga dan memberi ucapan di khalayak ramai. Ia mempunyai kesan yang bermanfaat dengan menjana rasa kepuasan atau pencapaian dan memudahkan pertumbuhan, perkembangan, penguasaan dan tahap prestasi yang tinggi.
Distress pula tindak balas tekanan negatif, selalunya melibatkan kesan negatif dan kereaktifan fisiologi. Ia juga sejenis tekanan yang berpunca daripada dikenakan tuntutan, kerugian atau ancaman yang dirasakan. Distress mempunyai kesan buruk dengan menjana kepincangan fizikal dan psikologi dan menimbulkan risiko kesihatan yang serius untuk individu.
Jadi cuba kenal pasti apakah stres yang anda alami masa kini eustress atau distress?
DR. NORASYIKIN MOHAIYUDDIN
Pusat Pengajian Pendidikan, Universiti Utara Malaysia










