Kekayaan adalah milik orang yang berjaya

Kekayaan adalah milik orang yang berjaya

PELAJAR perlu menyediakan tapak permulaan untuk berjaya dengan melanjutkan pelajaran mengikut bakat dan potensi diri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 telah diumumkan. Semua lepasan SPM sudah mengetahui keputusan masing-masing. Sejarah diri telah tercipta. Kegembiraan dikongsi dan kesedihan bukan dendangan tiada masa hadapan.

Justeru, golongan ini perlu menentukan langkah pertama iaitu destinasi seterusnya. Semua ada justifikasi pilihan masing-masing. Jangan terperangkap dengan permainan kata-kata, tidak belajar pun boleh kaya.

Pelajar perlu ingat bahawa mereka yang kaya atau berjaya pernah melalui kegagalan .Titik permulaan kejayaan ialah belajar untuk bangkit dari kegagalan. Kegagalan perlu dileraikan dengan ilmu pengetahuan.

Kejayaan memerlukan bukti dan saksi dari usaha sendiri. Oleh itu, menuntut ilmu adalah saksi pengorbanan selain daripada kewajiban yang dituntut oleh agama.

Biarlah jenama ‘kejayaan’ itu terhasil dari proses yang sahih melalui pembelajaran dan kematangan ilmu.

Pendidikan di Malaysia terbuka secara meluas. Kepada yang berjaya mahupun gagal mempunyai jambatan untuk meniti kejayaan melalui pelbagai saluran. Terdapat banyak institusi pengajian yang menawarkan pelbagai bidang bermula di peringkat sijil hinggalah ke peringkat tertinggi.

Pelbagai disiplin ilmu boleh diteroka sama ada bidang berasaskan kemahiran ataupun professional.Tiada lagi terowong gelap untuk mereka yang ingin memperbaiki diri dan kehidupan.

Bimbingan pendidikan dan hala tuju kerjaya sentiasa ditawarkan oleh guru bimbingan dan kaunseling. Khidmat nasihat boleh diperoleh daripada mereka yang berjaya. Pelbagai testimoni kejayaan boleh dicontohi.

Kemajuan teknologi tiada batas sempadan dan terus berkembang dengan kecerdasan buatan (AI) berbantukan kepakaran digital.

Semua pelajar perlu berada dalam arus semasa dan mencipta kerjaya dalam menjana sumber manusia berkemahiran tinggi. Hilangkan sifat malu untuk bersaing dan memajukan diri.

Pelajar perlu menyediakan tapak permulaan untuk berjaya dengan melanjutkan pelajaran mengikut bakat dan potensi diri. Masih banyak lagi ruang dan peluang yang terbentang untuk diisi pelajar hari ini kerana kegagalan adalah salah satu pintu kejayaan, manakala kejayaan adalah milik orang yang berjaya. Banyak lagi kejayaan yang perlu dituai dalam jalur kehidupan.

Oleh itu, noktahkan sejarah diri ibarat permata generasi madani yang lahir dari tradisi cinta ilmu curahan ilmu sang guru.-UTUSAN

TUMIN YATMAN
Pengetua Cemerlang SMK Dato Abdul Rahman Andak, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN