SAUDARA PENGARANG,
SEJAK akhir-akhir ini terdapat keluhan yang amat membimbangkan daripada segelintir pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) berkaitan tingkah laku antisosial kanak-kanak di pusat asuhan yang rata-ratanya mula menunjukkan perubahan yang agak luar biasa.
Situasi menimbulkan rasa gusar sekiranya ianya tidak dibendung sedari awal.
Tingkah laku tidak pandai bergaul dengan kanak-kanak lain dan menunjukkan sikap pentingkan diri sendiri amat ketara dalam kalangan kanak-kanak di taska dan tadika. Mereka tidak mahu berkongsi permainan dan peralatan dengan rakan serta tidak pandai menjaga tingkah laku dalam pergaulan.
Jika hendak marah, mereka terus sahaja membaling, memukul dan menggigit tanpa ada rasa belas terhadap rakan. Sikap ini menjadikan mereka sering bergaduh dan kadangkala bertindak di luar batas. Mereka juga diperhatikan tidak mempunyai kesabaran jika bermain dan bertindak di luar jangkaan seorang kanak-kanak.
Kanak-kanak ini juga dilihat tidak pandai menguruskan diri walaupun untuk perkara-perkara asas seperti makan, berpakaian, dan menggunakan tandas. Ada yang masih memakai lampin pakai buang walaupun telah berusia 5 atau 6 tahun. Mereka juga tidak tahu menghiburkan diri dengan aktiviti yang dijalankan kerana mereka mungkin terlalu dipengaruhi dengan gajet yang diberikan oleh ibu bapa.
Mereka juga tidak mencapai tingkat kemahiran motor halus mungkin disebabkan oleh permainan terhadap gajet yang terlalu lama. Selain itu, mereka tidak boleh faham kepada arahan dan fokus kepada apa yang diajarkan dan ada dalam kalangan mereka masih tidak boleh bertutur (speech delay) kerana ketika di rumah mereka lebih banyak berinteraksi dengan gajet berbanding berkomunikasi dengan adik beradik.
Ada dalam kalangan kanak-kanak ini tidak dapat memberi respon ketika nama mereka dipanggil kerana tidak biasa dengan panggilan nama sebenar.
Banyak lagi sikap kanak-kanak ini termasuk bertingkah laku seperti orang dewasa. Imitasi ini berkemungkinan diperoleh daripada persekitaran keluarga atau pemerhatian mereka terhadap apa yang mereka tonton setiap hari. Ada yang datang pada awal pagi dengan tangisan dan memaki hamun cikgu dengan perkataan yang tidak sepatutnya.
Mereka juga kadangkala bertindak memukul dan membaling apa sahaja yang mereka pegang tanpa mempedulikan orang lain. Ada yang dengan bangga menyatakan kepada pengasuh apabila dewasa nanti mereka ingin menjadi seperti bapa mereka dengan menghisap vape dan rokok.
Justeru, bagi melahirkan generasi mulia dan beradab, usaha mendidik tidak hanya diberikan kepada pusat asuhan semata-mata sebaliknya ia adalah usaha bersama. Kepada pihak pengusaha taska dan tadika, teruskan mendidik dan membentuk generasi beradab dan berpendidikan walaupun cabaran yang dihadapi alaf ini semakin berat.-UTUSAN
DR. ABD RAZAK ZAKARIA
Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)










