Kaji semula beban KBAT

Kaji semula beban KBAT

KEMAHIRAN Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang diperkenalkan hanya memberi kelebihan kepada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah di bandar tetapi realitinya pelajar di pedalaman berdepan kesukaran memahami pembelajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM  kegembiraan meraikan keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, kita tersentak apabila sebanyak 1,467 orang pelajar gagal dalam semua mata pelajaran.

Dalam pada itu sebanyak 84.96 peratus daripada 373,525 calon SPM 2023 yang menguasai tahap penguasaan minimum. Ini ada hubungkait menjawab soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). 

Sejak 2021,  Kementerian Pendidikan (KPM) telah memperkenalkan 50 peratus item KBAT. Ada empat item dalam ujian KBAT iaitu kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta.

Kajian menunjukkan majoriti yang hanya menguasai tahap penguasaan minimum terdiri adalah pelajar di luar bandar manakala pelajar yang berada di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan lain-lain tiada masalah.

 Guru yang mengajar di luar bandar terpaksa menurunkan laras  dalam proses pembelajaran kerana  mengetahui pelajar tidak mampu mengikuti ujian KBAT ini.

Saya bersetuju dengan Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Professor Negara (MPN), Dr. Annuar Ahmad bahawa pelaksanaan KBAT sehingga 50 peratus kertas soalan SPM hanya memberi kelebihan kepada pelajar pintar yang mempunyai asas kuat dalam pembelajaran.

Saya juga bersetuju dengan beliau tentang kepentingan seseorang pelajar itu menguasai asas pembelajaran sesuai dengan tahap pendidikannya.

KPM perlu membuat suatu analisis yang lebih terperinci lagi tentang ujian KBAT supaya pelajar yang gagal tidak terus meningkat dari setahun ke setahun. KPM jangan terbuai-buai dengan kejayaan yang ada tetapi terlepas pandang terhadap pelajar-pelajar yang terkial-kial menjawab soalan KBAT.

Pegawai-pegawai KPM harus kerap turun padang ke sekolah luar bandar untuk mengetahui apa permasalahan yang timbul. Jangan ‘ syok sendiri’ sahaja hanya melihat data-data tanpa membuat apa-apa.

Di samping itu kita tidak perlu membandingkan antara guru di SBP dan MRSM dengan di sekolah luar bandar atau pendalaman. Jika ditakdirkan mereka mengajar di sekolah luar bandar, saya rasa guru-guru ini pun terpaksa menggunakan proses pembelajaran tahap rendah sesuai dengan tahap pelajar.

CIKGU JAMAL

Kuala Rompin, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN