SAUDARA PENGARANG,
Pada era digital yang serba canggih ini, media sosial menjadi medan yang subur bagi pelbagai aktiviti perdagangan, termasuk penjualan produk kesihatan dan ubat-ubatan. Namun, kebebasan ini sering kali disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Oleh itu, pengawalan ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap penjualan ubat di media sosial adalah keperluan untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Penjualan ubat tanpa kawalan boleh menyebabkan penyebaran produk yang tidak berdaftar dan tidak disahkan keselamatannya. Ubat-ubatan ini mungkin mengandungi bahan-bahan bahaya atau dos yang tidak tepat yang boleh mengakibatkan kesan sampingan serius atau kematian.
Pengguna sering kali tertipu dengan iklan yang ‘menyesatkan’, menjanjikan keajaiban atau penyembuhan segera. Kekurangan kesedaran dan pengetahuan tentang produk membuatkan pengguna mudah percaya dan terdedah kepada risiko kesihatan.
Satu langkah penting adalah pendidikan kesihatan digital yang mana KKM boleh bekerjasama dengan platform media sosial untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai ubat-ubatan dan kesan penggunaannya.
Penjualan ubat melalui media sosial juga merumitkan usaha pengesanan kesan buruk pasca pasaran. Tanpa data penjualan yang tepat dan rekod penggunaan yang sah, amat sukar bagi KKM untuk mengesan dan merespon kepada laporan-laporan kesan sampingan ubat.
Oleh itu, sistem pelaporan yang lebih efektif dan mudah diakses oleh pengguna diperlukan untuk meningkatkan keupayaan pemantauan keselamatan produk.
Malah aktiviti ini membuka peluang kepada peningkatan aktiviti penjualan produk tiruan yang mungkin mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan.
Untuk mengatasi isu ini, KKM boleh memperkenalkan sistem lesen yang ketat untuk penjual produk kesihatan di media sosial. Sistem ini dapat memastikan hanya penjual yang memenuhi syarat dan berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk menjual produk kesihatan, termasuk ubat-ubatan.
Selain itu, sistem pengesanan produk secara digital seperti penggunaan kod QR boleh membantu dalam pengesanan asal usul produk.
Kesimpulannya, pengawalan ketat KKM terhadap penjualan ubat di media sosial bukan sahaja penting untuk melindungi kesihatan rakyat tetapi juga untuk memastikan integriti dan kepercayaan terhadap sistem penjagaan kesihatan negara.
Melalui pendekatan yang bersepadu dan kolaboratif, kita dapat menangani cabaran ini dengan efektif.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Taman Bintang, Parit Sulong









