SAUDARA PENGARANG,
Malaysia antara negara yang lantang bersuara dan membela negara-negara yang ditindas terutamanya Palestin sejak dahulu lagi. Malah kerap membantu dari segi sokongan diplomatik dan bantuan kemanusiaan selain memberi perlindungan kepada pelarian dari negara Islam bergolak. Namun Malaysia tidak peduli mengenai perang Ukraine-Russia sejak dua tahun lalu apatah ingin suarakan solidariti ataupun kritik tindakan Russia yang melakukan pelanggaran hukum antarabangsa.
Kenapa Malaysia tidak lantang berhubung dengan mana-mana negara lain yang turut ditindas seperti Ukraine, Sudan, Yaman? Adakah negara kita sekadar amalkan ‘neutral’ terhadap negara disebutkan tadi dan hanya melihat sahaja?
Seharusnya Malaysia perlu berdiri dan konsisten seperti Ireland yang berdiri atas nama kemanusiaan dan anti-penjajahan sama ada Palestin, Ukraine dan lain-lain. Dalam apa jua kisah, bangsa mahupun agama, kita harus memperjuangkannya dengan suara dan mengambil tindakan tanpa mengira pihak kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat supaya tampil suarakan tentang apa sahaja perjuangan terhadap mana-mana negara yang ditindas serta kritik terhadap negara melakukan perbuatan ini waima melibatkan negara besar.
Memang diakui, Malaysia tidak boleh lari daripada terus lantang bersuara mengenai konflik Palestin-Israel tetapi dalam masa sama Malaysia tidak boleh amalkan sikap dwistandard sebaliknya mengajak semua pihak agar sama-sama membela negara dizalimi di muka bumi ini. Apa pun ia berbalik kepada pendirian yang jelas.
Diharapkan supaya negara kita bersuara dan membantu mana-mana negara yang dizalimi meskipun berhadapan pelbagai cabaran termasuk kerenah rakyat yang tidak inginkan solidariti terhadap semua negara konflik selain masih condong berkiblatkan solidariti Palestin sahaja.
Dalam masa sama, berilah ruang kepada aktivis-aktivis yang mewakili negara bergolak untuk bersuara kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan status supaya membuka mata kesedaran tentang perjuangan mereka kelak.-UTUSAN
AKTIVIS UKRAINE
Kuala Lumpur










