Jangan abai literasi sosiobudaya, kemahiran berbahasa Inggeris

Jangan abai literasi sosiobudaya, kemahiran berbahasa Inggeris

SALAH satu langkah ke arah memperkemas kemahiran literasi sosiobudaya adalah dengan memperkukuhkan kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, literasi sosiobudaya dan kemahiran bahasa Inggeris memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan moden.

Kedua-dua elemen ini bukan sahaja membantu dalam pembentukan individu yang berpengetahuan luas bahkan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan berdaya saing.

Pemahaman tentang konsep literasi sosiobudaya amat penting terutamanya dalam konteks memahami budaya dan peristiwa sejarah yang pernah berlaku kepada sesuatu kumpulan manusia.

Keadaan ini dilihat penting bagi mengelakkan pengulangan kesilapan yang sama pada konteks budaya berbeza, seperti mana kata pujangga, “Hanya mereka yang belajar sejarah takkan mengulangi sejarah tersebut.”

Jadi, salah satu langkah ke arah memperkemas kemahiran literasi sosiobudaya adalah dengan memperkukuhkan kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris. Kini, bahasa Inggeris muncul sebagai lingua franca global, yang mana bahasa ini penting untuk berinteraksi dengan pelbagai khalayak.

Individu yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris akan mendapati diri mereka berada dalam kekurangan yang amat ketara dalam semua perkara selain gagal menguasai isu-isu penting dunia serta tidak dapat terlibat secara langsung terutamanya dalam diskusi di media sosial yang menggunakan pengantara bahasa Inggeris.

Oleh itu, tidak wajar untuk kita melihat kursus bahasa Inggeris sebagai bebanan serta memperlekehkan kepentingan bahasa tersebut apatah lagi mengabaikan potensi impaknya.

Kemahiran dalam bahasa kedua ini bukan hanya melengkapkan individu dengan keupayaan untuk berkomunikasi merentasi sempadan budaya tetapi juga sebagai alat untuk memperjuangkan literasi merentas sosiobudaya.

Individu yang fasih berbahasa Inggeris berupaya menjalankan tanggungjawab sebagai duta kemanusiaan dan lebih utama lagi berkebolehan untuk menjadi duta agama Islam bagi berkongsi mesej mengenai Islam dan konflik Palestin dengan khalayak yang lebih luas.

Kesimpulannya, literasi sosiobudaya dan kemahiran bahasa Inggeris adalah elemen yang saling berkait dalam pendidikan yang menyeluruh. Ia memberi kuasa kepada individu untuk belajar dari masa lalu, berinteraksi dengan masa kini dan mempengaruhi masa depan.

Dengan menghayati elemen-elemen ini, setiap individu dapat memastikan mereka bersedia untuk menyumbang secara positif kepada perbualan global dan bertindak sebagai duta yang berpengetahuan dan fasih mengenai budaya dan nilai mereka.-UTUSAN

NUR FAATHINAH MOHAMMAD ROSHDAN dan NURUL NISHA MOHD SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN