SAUDARA PENGARANG,
PEMBANGKANG perlu menghentikan segala tohmahan yang disasarkan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam tempoh 18 bulan pemerintahan kerajaan madani, pelbagai pencapaian signifikan direkodkan yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam membina dan memajukan negara.
Kerajaan berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus, mengatasi jangkaan awal sebanyak 3.7 peratus. Peningkatan ini menunjukkan pengurusan ekonomi yang berkesan walaupun berhadapan dengan cabaran global seperti konflik geopolitik, kesan pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan harga komoditi. Pertumbuhan ekonomi ini juga memberi keyakinan kepada pelabur asing yang merupakan petunjuk penting bagi kestabilan dan daya tahan ekonomi negara.
Jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta dengan pasaran buruh berkembang sebanyak 2.1 peratus. Peningkatan ini selari dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan memberi peluang pekerjaan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Ketegasan Anwar dalam isu tadbir urus dan tata kelola, terutamanya dalam memerangi rasuah, membawa kepada pencapaian ekonomi yang mengagumkan.
Kerajaan memperkenalkan pelbagai program dan dasar baharu untuk mengatasi masalah struktural dan meningkatkan ekosistem perniagaan. Antara program tersebut termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Strategik Semikonduktor, Ikhtiar Ekonomi Madani, Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dan Pelan Tindakan KL20. Langkah-langkah ini bertujuan menyokong industri baharu bernilai tinggi serta meningkatkan nilai pelaburan domestik dan asing.
Walaupun terdapat kritikan dari pihak pembangkang yang mendakwa kerajaan gagal melaksanakan tanggungjawab utamanya, data dan pencapaian yang direkodkan menunjukkan sebaliknya. Pembangkang sering menggunakan media sosial dan laskar siber untuk menyebarkan sentimen negatif terhadap kerajaan.
Namun, Perdana Menteri berjaya membuktikan melalui fakta dan statistik bahawa usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah nyata dan berkesan.
Saya melihat kestabilan ekonomi dan pertumbuhan yang dicapai kerajaan sangat signifikan. Kadar pertumbuhan yang mengatasi jangkaan, peningkatan Pelaburan langsung asing (FDI) dan pemulihan pasaran buruh adalah indikator positif yang menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul. Pelabur asing semakin yakin untuk melabur di Malaysia, yang seterusnya akan merangsang pertumbuhan ekonomi dalam jangka panjang.
Pembangkang seharusnya memainkan peranan yang konstruktif dan menyokong usaha kerajaan dalam membangunkan negara demi kesejahteraan rakyat.
Dengan kerjasama semua pihak, Malaysia pasti dapat mencapai kemajuan yang lebih cemerlang dan mapan. Seperti yang dinyatakan Anwar Ibrahim, marilah kita bersama-sama membina negara ini dengan penuh semangat dan keazaman untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.-UTUSAN
MUHAMMAD SANIY SAMSUDIN
Pemenang Anugerah Perdana Belia Negara Perlis 2024










