SAUDARA PENGARANG,
INDUSTRI vape tempatan menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat sesi libat urus sebelum memberikan butiran berkenaan cadangan peraturan berkaitan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dengan industri.
Ini berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan baru-baru ini bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan dikuatkuasakan sepenuhnya dengan peraturan diperkenalkan pada bulan Jun.
Industri masih tiada butiran dan tiada sebarang persediaan tanpa butiran serta gambaran penuh mengenai cadangan peraturan serta tatacara pelaksanaan peraturan di bawah Akta 852.
Kami sangat kesal apabila mendapat tahu mengenai perkara ini hanya melalui bacaan di media. Setiap perkembangan mengenai akta ini kami hanya tahu melalui media bukan melalui perjumpaan dan perbincangan secara terus.
Tiada libat urus diadakan bersama peruncit dan pemain industri walaupun kami yang akan menerima kesan daripada pelaksanaan peraturan dan akta ini. Pihak Kementerian Kesihatan patut mengambil pendekatan untuk berbincang bersama industri dalam perkara ini dan bukannya meminggirkan industri dalam pembikinan peraturan yang berkaitan industri itu sendiri.
Industri bimbang dengan larangan mempamerkan produk vape di tempat jualan, larangan perisa dalam cecair vape serta pembungkusan standard yang dikatakan bakal menjadi salah satu intipati dalam peraturan di bawah Akta 852. Jika kedua-dua peraturan ini dikuatkuasakan, industri bakal terjejas terutamanya dari segi perolehan hasil dan juga peningkatan kos bagi pematuhan.
Industri perlu dimaklumkan intipati yang terkandung dalam Akta, jangka masa pematuhan, penguatkuasaan dan sebagainya. Menerima sesuatu dalam keadaan yang terkejut adalah tidak baik untuk industri. Kerajaan harus tahu, akta ini melibatkan satu komuniti dalam ekosistem ekonomi yang bernilai RM3.48 bilion.
Industri vape Malaysia sudah bertaraf antarabangsa dan ramai pengusaha vape berjaya menembusi pasaran global dan dikenali sebagai antara yang terbaik. Industri vape Malaysia bukan industri ‘jaguh kampung’.
Malah awal tahun ini terdapat laporan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan negara keenam terbesar di dunia untuk China dalam industri vape.
Kerajaan seharus memberi fokus dan melihat potensi industri vape terutamanya negara China merupakan rakan dagangan antarabangsa yang utama untuk Malaysia. Sekiranya peraturan yang dibuat meminggirkan input daripada industri vape tempatan, ia akan memberikan kesan kepada perdagangan antarabangsa dengan China.
Industri vape mempunyai potensi yang besar untuk menarik pelaburan antarabangsa terutamanya daripada negara China dan ini akan membolehkan industri vape menyumbang kepada ekonomi negara.-UTUSAN
RIDHWAN ROSLI
Setiausaha Agung Dewan
Perniagaan Vape Malaysia (DPVM)
RIZANI ZAKARIA
Presiden Malaysia Vape
Industry Advocacy (MVIA)










