Tertekan kerana media sosial

Tertekan kerana media sosial

MEDIA sosial cenderung meningkatkan perasaan tidak puas hati atau kecewa dalam kehidupan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja telah membawa bersamanya serangkaian masalah yang memerlukan perhatian serius. Salah satu kesan negatif yang paling menonjol adalah masalah kesihatan mental.

Banyak kajian menunjukkan hubungan antara penggunaan media sosial yang berlebihan dengan kecemasan, kemurungan, dan tekanan psikososial pada remaja. Imej diri yang terlalu diubahsuai dan kenyataan yang sering diputar belit di platform media sosial dapat memberikan tekanan tambahan pada remaja untuk mencapai standard yang tidak realistik.

Beberapa kajian terdahulu telah menghubungkan penggunaan media sosial dengan perasaan cemas, depresi atau kemurungan. Pakar meyakini bahawa jumlah individu yang mengalami masalah kesihatan mental meningkat sejajar dengan peningkatan penggunaan media sosial.

Kemudahan ini utamanya dimanfaatkan untuk berkomunikasi dan berinteraksi di pelbagai platform media sosial. Menurut analisis dari Kepios, entiti yang memerhatikan data media sosial dan penggunaan internet, hampir 27 juta penduduk Malaysia, yang merupakan kira-kira 78.5 peratus daripada keseluruhan penduduk, aktif menggunakan media sosial sehingga Januari 2023.

Angka ini turut menunjukkan trend peningkatan yang berterusan. Perubahan dalam gaya hidup yang dipengaruhi oleh pandemik mengubah dinamik komunikasi dan interaksi sosial kita dengan memperkuatkan peranan media sosial sebagai medium utama untuk berhubung, berkongsi dan mendapatkan informasi dalam masyarakat digital ini.

Media sosial cenderung meningkatkan perasaan tidak puas hati atau kecewa dalam kehidupan, kewangan dan hubungan seseorang, menyebabkan rasa tidak berguna dan kebimbangan. Ini disebabkan oleh fenomena perbandingan sosial yang terjadi di media sosial, apabila individu merasa perlu untuk menunjukkan kejayaan dan kebahagiaan mereka kepada orang lain, meningkatkan tekanan untuk mengekalkan imej yang dianggap sempurna.

Peningkatan penggunaan media sosial juga meningkatkan risiko penyalahgunaan dan eksploitasi dalam talian. Kanak-kanak dan remaja yang terlalu aktif dalam media sosial mungkin terdedah kepada ancaman seperti penipuan atas talian, kandungan yang tidak sesuai atau penipuan identiti.
Mereka juga mungkin menjadi mangsa buli atas talian, yang boleh memberi kesan serius terhadap kesejahteraan emosi dan mental mereka.

Penggunaan media sosial yang berlebihan boleh menyebabkan gangguan dalam hubungan keluarga. Kanak-kanak dan remaja mungkin menjadi lebih terikat kepada dunia maya daripada kehidupan keluarga mereka menyebabkan ketegangan dan ketidakseimbangan dalam interaksi keluarga. Komunikasi yang terbina melalui perbualan bersemuka dan aktiviti bersama mungkin terjejas, yang boleh mengurangkan kualiti hubungan keluarga secara keseluruhan.

Peningkatan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja membawa bersamanya pelbagai kesan negatif yang tidak boleh diabaikan. Untuk melindungi kesejahteraan dan perkembangan holistik generasi muda, perlu ada usaha bersama dari pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pendidik, dan masyarakat secara keseluruhannya.

Dengan pendidikan yang tepat, pemantauan yang teliti dan sokongan yang berterusan, kita dapat membantu kanak-kanak dan remaja menghadapi cabaran digital dengan lebih berkesan, sambil memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang seimbang dan sihat.-UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pensyarah kanan Fakulti Pengurusan
dan Perniagaan UiTM Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN