SAUDARA PENGARANG,
SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) telah mengeluarkan dokumen perundingan yang mencadangkan bahawa peruntukan untuk syarikat dikecualikan daripada wajib audit ditingkatkan daripada peruntukan semasa RM100,000 terhadap pendapatan dan RM300,000 terhadap aset kepada RM3 juta untuk kedua-dua pendapatan dan aset.
Firma audit didominasi oleh sekitar 68 peratus syarikat milikan tunggal dan 367 firma yang mempunyai dua rakan kongsi. Kedua-dua ini menjadikan sebanyak 1,382 iaitu sebanyak 92 peratus daripada kalangan firma audit bersaiz kecil (2023).
Firma audit yang lebih kecil ini biasanya cenderung kepada penawaran servis penumpuan audit yang tinggi iaitu yuran audit yang membentuk bahagian terbesar hasil mereka.
Dengan itu, potensi peningkatan dalam peruntukan pengecualian audit akan memberi impak yang besar kepada firma audit yang lebih kecil berbanding firma sederhana dan besar yang mewakili hanya lapan peratus dari keseluruhan firma perakaunan yang mempunyai lesen untuk menawarkan khidmat audit.
Malah, hanya sekitar 300,000 sahaja PKS yang merekodkan hasil tahunan melebihi RM300,000. Bayangkan hanya berapa sahaja PKS yang termasuk dalam kategori pendapatan dan aset bernilai RM3 juta.
Hujahan yang mengatakan bahawa kos perhidmatan perakaunan dan audit menyumbang kepada peningkatan kos operasi perniagaan tidak berasas kerana kadar fi dari kedua-dua perkhidmatan ini hanyalah berlegar di sekitar satu hingga dua peratus daripada keseluruhan kos pengurusan.
PKS di Malaysia secara amnya tidak mempunyai kapasiti untuk mengambil akauntan berkelayakan untuk menyediakan laporan perakaunan dan kewangan mereka. Oleh itu, mengecualikan lebih banyak penyata kewangan daripada audit akan menyumbang kepada impak negatif kepada peningkatan kesalahan perakaunan dan mengurangkan kualiti penyata kewangan PKS.
Ruang kelompongan pengecualian yang kepada RM3 juga akan membuka lembaran yang sangat luas kepada majoriti PKS untuk bertangguh mengambil perkhidmatan audit dan membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti pengubahan wang haram dan seumpama dengannya.
Diharap SSM mengambil kira pandangan dari pihak berkepentingan, institusi kewangan dan pemegang taruh utama sebagai pengguna penyata kewangan secara keseluruhannya.
Negara memerlukan sejumlah 60,000 akauntan bertauliah dan professional, sekitar kini hanya dalam lingkungan 38,000. PKS merupakan antara platform utama graduan perakaunan untuk mendapatkan latihan dan berkembang dalam profesion sebelum menyambung perkhidmatan ke pelbagai sektor.
Perluasan pengecualian audit ini akan memberikan impak kepada potensi pengambilan bakat akauntan masa depan negara dan ia akan memberikan impak buruk kepada negara yang meletakkan aspirasi sebagai pemain industri dan kuasa ekonomi ke-12 terbesar dunia, ia mustahil tanpa modal insan profesional tempatan untuk mengisi ruang ini.
Setiap perundangan perlu dilakukan kajian holistik dan yang paling utama adalah memastikan adakah ia selari dengan dasar wawasan kemakmuran bersama negara untuk pembangunan ekonomi dan modal insan negara.
Justeru, kajian menyeluruh perlu dilakukan melangkaui kajian balas tinjauan semata-mata dan sekiranya perlu dilakukan, maka lakukan secara berperingkat seperti pengalaman negara-negara lain.-UTUSAN
RM500,000 hingga RM1 juta adalah satu kenaikan yang munasabah berbanding dengan terus kepada RM3 juta.
MOHAMAD FAISAL
Petaling Jaya










