Mainkan peranan, perjuangkan pembebasan Palestin

Mainkan peranan, perjuangkan pembebasan Palestin

BERSAMA kita rakyat Malaysia memperjuangkan keadilan Palestin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIKA dulu, hanya suara-suara kecil yang bergema melalui jalan-jalan kota, tetapi sekarang, ia adalah suara dunia yang bersatu dalam solidariti dari jalanan hingga ke dinding mesyuarat rundingan antarabangsa.

Dari sudut-sudut kampus hingga pentas-pentas dunia, suara-suara berani berkumandang, menolak kezaliman dan menuntut keadilan. Bukan hanya aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi merangkumi golongan selebriti, ahli politik, ahli akademik hingga pengusaha perniagaan besar. Suara-suara golongan berpengaruh ini menyuarakan sokongan mereka untuk Palestin.

Penentangan di pelbagai pihak pada segenap peringkat memberi tekanan kepada pemimpin-pemimpin negara mereka. Ini contoh bukti keberkesanan kesedaran awam yang mendesak untuk adanya tindakan moral dan politik terhadap pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.
Suara-suara yang menuntut keadilan dan memulangkan hak kemanusiaaan ini turut melaungkan keperluan memboikot barangan Israel dan sekutunya sebagai tindakan protes.

Sebuah perubahan telah bermula, bukan hanya di peta politik, tetapi di hati manusia. Ini adalah panggilan untuk keadilan yang membangkitkan semangat, mengingatkan kita memiliki kekuatan untuk membentuk masa depan yang lebih baik.

Bersama-sama kita adalah suara bagi yang tak terdengar dan cahaya bagi kegelapan. Bersama kita memperjuangkan keadilan Palestin.

Dalam gelombang perjuangan bagi keadilan Palestin, sebuah misi kemanusiaan yang menggetarkan telah menggerakkan misi yang berani.

Misi Break The Siege of Gaza Freedom Flotilla adalah sebuah pelayaran yang diikuti 30 negara dan hampir 1,000 aktivis dari pelbagai belahan dunia, untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tujuan misi ini tidak hanya untuk mengirimkan bantuan, tetapi juga untuk membangkitkan kesedaran global tentang penderitaan yang dialami penduduk Gaza.

Mereka mengecam sekatan tidak sah oleh Israel yang menyekat segala keperluan asas hingga mengakibatkan rakyat Gaza terpenjara dalam keadaan yang mengerikan.

Dalam kebisuan pemimpin-pemimpin besar dunia, masyarakat awam telah mengambil alih, menunjukkan keberanian dan pengorbanan yang luar biasa.

Mereka meninggalkan keluarga, pekerjaan dan tanah air untuk menyuarakan keadilan di Gaza, sementara pemimpin-pemimpin mereka hanya mengirimkan kecaman lemah atau bahkan diam seribu bahasa.

Malaysia berdiri sebagai suara yang teguh dan konsisten dalam mendukung perjuangan pembebasan Palestin. Meskipun berganti pemimpin, semangat kesatuan untuk Palestin tetap menggelora di hati rakyat Malaysia dari dulu hingga sekarang.

Ini menjadi titik temu yang kuat untuk kerajaan dan pembangkang duduk bersama, melakukan gencatan politik, menyatakan solidariti dalam isu Palestin agar kesatuan suara negara Malaysia bertaring.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tegas mengecam kekejaman yang terjadi di Gaza di pentas global dan berdiri dengan prinsip menegakkan hak asasi manusia.

Bantuan daripada kerajaan melalui Ops Ihsan dengan kerjasama agensinya dan NGO-NGO yang prihatin terus mengalir ke Gaza, membantu meringankan penderitaan yang tidak terbendung.

Maka, saat ini adalah panggilan bagi seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu, melangkah bersama dalam menegakkan hak asasi manusia.

Kita harus terus menunjukkan dukungan demi memastikan suara solidariti kita bergema di seluruh dunia. Jangan biarkan api perjuangan kita padam kerana hanya dengan bersama-sama, suara kita bertaring berbisa!-UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×