Kata sayang, jagalah alam sekitar elok-elok

Kata sayang, jagalah alam sekitar elok-elok

PEMBALAKAN secara tidak terkawal atau haram boleh menjejaskan alam sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

 

AIR, api, angin dan tanah adalah ‘tentera’ Tuhan. Menjaga dan memelihara alam sekitar merupakan aset yang penting untuk kelestarian kehidupan semua makhluk di muka bumi ini.  

Sebagai seorang mukmin, kita tidak terkecuali dari tanggungjawab ini. Ingatlah, alam sekitar ini juga adalah ciptaan Allah SWT dan setiap ciptaannya pasti ada sebab dan fungsinya.

Al-Quran dan sunnah memberikan penekanan serius mengenai penjagaan alam sekitar yang mana kedua-dua sumber rujukan umat Islam ini menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu kurniaan atau nikmat Allah SWT yang agung.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar dan ekosistem memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dan ia mestilah selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran yang dikecapi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan semua makhluk akan terancam.

Ajaran agama menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi. Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras konsep Islam Hadhari.

Bumi ini bukanlah hak milik manusia untuk berbuat sesuka hati tetapi ia dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi hidup dengan makhluk-makhluk yang lain yang kemudiannya dituntut untuk menjalankan segala perintah Allah SWT diatasnya.

Justeru itu, setiap umat manusia perlu ingat bahawa kehadiran kita ini adalah sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi yang juga milik Allah SWT. Maka tidak sepatutnya manusia bertindak seperti raja yang seolah-olah tidak akan dipertanggungjawabkan di atas segala yang telah dikerjakannya.

 

IBNU ARASY DZIKRULLAH

Kepala Batas, Pulau Pinang. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN