Jadikan universiti medium penyatuan

Jadikan universiti medium penyatuan

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) seharusnya memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, satu isu yang timbul daripada kepimpinan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menimbulkan reaksi yang pelbagai dalam kalangan mahasiswa. Isu yang berpunca daripada salah informasi mengenai pembukaan kuota untuk pelajar bukan bumiputera, bukan sahaja mencetuskan perdebatan hangat tetapi juga berpotensi memecah belahkan kesatuan pelajar.

Dalam konteks ini, penting untuk kita merenung semula peranan akademik yang sepatutnya menjadi platform untuk menyatukan, bukannya memecah belahkan mahasiswa.

Universiti adalah tempat pelajar dari pelbagai latar belakang berkumpul untuk menimba ilmu, berkongsi idea dan mempersiapkan diri untuk menghadapi masa depan. Dalam persekitaran akademik yang ideal, perbezaan latar belakang dan pandangan seharusnya dilihat sebagai kekuatan yang memperkayakan pengalaman pembelajaran.

Ini kerana, kita dapat memperluaskan perspektif dan memahami isu-isu dari pelbagai sudut pandangan. Namun, apabila isu sensitif seperti pembukaan kuota kepada pelajar bukan bumiputera tidak ditangani dengan bijak, ia boleh mencetuskan perpecahan.

Maklumat yang disebarkan tanpa semakan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar. Untuk mengatasi isu ini, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) seharusnya memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih. Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada sumber rasmi dan berunding terus dengan pihak pengurusan universiti.

Selagi mana wujudnya Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang dijadikan tiang asas kepada penubuhan universiti keramat ini, pihak universiti memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku ketirisan dan kepincangan dalam urusan melibatkan hak kaum Melayu dan bumiputera.

Penting untuk memahami bahawa perlindungan hak orang Melayu dan bumiputera tidak bermakna menafikan peluang kepada bangsa lain. Sebaliknya, ini sebagai bentuk pengiktirafan terhadap keperluan khusus yang dimiliki oleh golongan ini hasil daripada konteks sejarah dan sosioekonomi negara.

Selain itu, kepimpinan pelajar perlu mengambil inisiatif untuk menggalakkan dialog dan diskusi yang konstruktif. Ini membolehkan pelajar bersuara menyatakan pandangan dan buah fikiran. Langkah ini bukan sahaja membantu meredakan ketegangan, tetapi juga memberi ruang kepada pelajar untuk turut sama membantu dalam pembangunan universiti.

Oleh itu, penting untuk mengalihkan perhatian daripada isu perpecahan kepada potensi manfaat yang boleh dicapai melalui penyatuan. Pelajar perlu diajar untuk melihat kepelbagaian sebagai satu kekuatan dan bukannya ancaman. Dalam suasana yang menghargai kepelbagaian, pelajar dapat belajar untuk bekerja sama, menghormati perbezaan, dan membina hubungan yang kukuh dan harmoni.-UTUSAN

NOEL ENTILI
Universiti Teknologi Mara (UiTM) SHAH ALAM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN