SAUDARA PENGARANG,
KAUNTER pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka sesak dengan kehadiran pencarum KWSP yang hadir untuk memindahkan jumlah permulaan ke Akaun Fleksibel setelah berkuatkuasa Inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP pada 12 Mei 2024 kepada ahli di bawah usia 55 tahun.
Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan simpanan pendapatan persaraan ahli, mengimbangi keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang ahli selaras dengan jangka hayat ahli,membangunkan skim yang relevan dengan landskap pekerjaan, perubahan demografi serta memenuhi keperluan kewangan jangka pendek ahli tanpa menjejaskan pendapatan persaraan.
Penstrukturan Semula Akaun KWSP ini akan menjadikan akaun ahli dari dua akaun kepada tiga akaun. Akaun 1 dinamakan Akaun Persaraan, Akaun 2 dinamakan Akaun Sejahtera manakala Akaun 3 dinamakan Akaun Fleksibel. Caruman yang diterima KWSP akan dikreditkan mengikut nisbah 75 peratus (Akaun 1 Persaraan),15 peratus (Akaun 2 Sejahtera) dan 10 peratus (Akaun 3 Fleksibel).
Tujuan utama Akaun Fleksibel ini adalah sebagai alternatif kepada pencarum yang terdesak memerlukan wang sekiranya menghadapi situasi kecemasan atau untuk memenuhi keperluan asas pencarum seperti kenderaan rosak di pertengahan bulan atau membiayai kos perubatan sementara menunggu gaji di hujung bulan.
Pengeluaran minimum Akaun Fleksibel sebanyak RM50 dan maksimum RM250 sehari. Pengeluaran maksimum sehari RM250 itu dilihat satu jumlah yang boleh dikatakan amat tinggi untuk meringankan beban kewangan sekiranya pencarum betul-betul dalam keadaan terdesak menghadapi masalah kewangan.
Pun begitu, jika pencarum tidak berhemat dalam pengurusan kewangan yakni tidak berdisiplin, maka pengeluaran RM250 maksimum sehari memungkinkan pencarum menjadi gelap mata seketika dengan membeli atau menggunakan duit itu bagi membeli barangan bukan keperluan asas tetapi lebih kepada barangan berkehendak. Justeru itu, tiada faedah diperolehi melalui kemudahan Akaun Fleksibel ini.
Ramai pencarum yang menghadapi masalah kewangan semasa pandemik Covid-19 telah mengeluarkan caruman KWSP mereka melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan Pengeluaran Khas yang menyebabkan berlaku penurunan simpanan pencarum KWSP.
Kebimbangan kekerapan pengeluaran Akaun Fleksibel bukan untuk keperluan mendesak ini bakal menyebabkan kesan dalam jangka panjang, penjanaan pendapatan menerusi dividen yang dianggap antara yang kompetitif berkurangan dan wang persaraan pencarum pula akan berkurangan sebanyak 10 peratus.
Dengan mengambil kira jangka hayat penduduk negara dijangka meningkat menjelang tahun 2030 dan peningkatan dalam kos sara hidup bakal menyebabkan kesukaran kehidupan pencarum selepas persaraan jika simpanan persaraan tidak mencukupi.
Justeru itu, amatlah penting kepada pencarum KWSP untuk berpandangan ke hadapan untuk sebarang keputusan yang dibuat pada ketika ini yang akan memberi kesan kewangan pada masa hadapan.
Gunakan pengeluaran Akaun Fleksibel hanya untuk perkara yang penting sahaja seperti untuk keperluan pendidikan dan kecemasan. Elakkan pengeluaran wang untuk perbelanjaan yang tidak penting seperti membeli gajet baharu atau untuk melancong.
Perancangan kewangan yang berhemat penting untuk kelangsungan hidup selepas persaraan dengan memastikan kewangan terjamin. Sikap mengukur baju di badan sendiri perlu dipupuk dan diamalkan bagi mengukur kemampuan sendiri dan mengelak dibelenggu masalah kewangan di kemudian hari. – UTUSAN
NADZIR AWANG AHMAD@SAID
Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis










