SAUDARA PENGARANG,
IBU adalah seorang insan yang sangat dipandang mulia dalam Islam. Islam meletakkan kedudukan ibu bapa setelah Allah dan Rasul-Nya. Setiap manusia yang dilahirkan pasti mempunyai ibu bapa sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.
Menjadi tanggungjawab setiap anak-anak mereka untuk berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa mereka yang masih hidup lebih-lebih lagi kepada insan bergelar ibu kerana kedudukan ibu lebih tinggi berbanding seorang bapa. Manakala ibu bapa yang sudah tiada, anak-anak mesti selalu mengirimkan doa dan menziarahi pusara mereka.
Dunia pada hari ini telah menciptakan satu hari istimewa khas bagi para ibu yang dikenal sebagai Hari Ibu yang disambut setiap tahun pada tanggal 12 Mei bagi merayakan dan menyatakan rasa syukur kepada mereka atas segala pengorbanan yang telah diberikan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak tanpa rasa lelah dan jemu.
Nama ibu disebut sebanyak tiga kali dalam hadis menandakan pentingnya seorang anak itu berbuat baik kepada ibunya. Allah juga telah merakamkan perintahnya kepada umat Islam agar berbuat ihsan; yakni berbuat baik kepada ibu bapa mereka sehingga melarang mengangkat suara terhadap mereka.
Meskipun ibu melakukan kesalahan, kita masih perlu menghormati mereka. Allah memerintahkan kita taat kepada ibu bapa kita dalam perkara-perkara baik. Namun jika ibu bapa kita menyuruh kita melakukan perkara maksiat, maka kita dibenarkan untuk tidak mentaati ibu bapa kita. Tetapi dengan cara yang berhikmah menolaknya tanpa meninggikan suara dan menggunakan kata-kata yang kesat.
Sentiasalah berdoa buat ibu bapa kita pada setiap masa. Setiap kali kita teringatkan mereka berdoalah dengan segera. Semoga Allah menjadikan kita semua anak-anak yang soleh, penyejuk mata mereka dan dapat berbakti kepada mereka hingga penghujung nyawa mereka. Ya Allah, bantulah kami dan permudahkanlah segala urusan kami demi ibu dan bapa khususnya ibu yang kami cintai dan rindui. – UTUSAN
Abdul Hadi Abd Aziz
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










