SAUDARA PENGARANG,
Secara amnya, kecuaian adalah perlanggaran kewajipan untuk berhati-hati dan menyebabkan kemudaratan kepada orang lain. Kemudaratan termasuk kecederaan diri, kerosakan kepada harta benda dan juga kerugian ekonomi.
Kecuaian perubatan pula adalah satu konsep undang-undang yang timbul apabila pusat perubatan (hospital/klinik) dan perkhidmatan (doktor, jururawat dan sebagainya) gagal menyediakan tahap penjagaan standard yang mengakibatkan kecederaan kepada pesakit.
Kecuaian perubatan boleh berlaku dalam banyak situasi seperti gagal mendiagnosis penyakit dengan tepat walaupun pesakit menunjukkan simptom yang boleh diuruskan dengan cekap dan munasabah oleh doktor professional, preskripsi ubat atau pemberian dos yang salah, cuai semasa prosedur pembedahan atau semasa proses kelahiran, penangguhan rawatan.
Apabila berlaku kecuaian perubatan, pesakit mempunyai hak untuk membawa tuntutan terhadap pusat perubatan dan perkhidmatan. Bagi membolehkan tuntutan kecuaian perubatan berjaya, pesakit perlu membuktikan elemen-elemen kecuaian perubatan wujud. Terdapat elemen kecuaian perubatan yang perlu dibuktikan oleh pesakit.
Di Malaysia, terdapat beberapa cara perundangan yang boleh digunakan. Kebiasaannya mahkamah akan memberi ganti rugi am atau ganti rugi khas. Walau bagaimanapun, jumlah ganti rugi adalah mengikut budi bicara mahkamah dan bergantung kepada keadaan setiap kes.
Oleh itu sebelum memulakan sesuatu tindakan ke atas pihak yang melakukan kecuaian, dokumen-dokumen yang berkaitan dengan kecederaan, laporan perubatan, ujian diagnostik dan resit-resit bayaran perlu dikemukakan kepada pihak peguam. Kes kecuaian perubatan boleh menjadi mencabar kerana ia bergantung kepada bukti perubatan yang jelas.
Peguam akan berhubung dengan pakar perubatan yang kepakarannya selari dengan bidang perubatan yang mana kecuaian berlaku sebelum tuntutan saman difailkan. Laporan akan dikeluarkan oleh pihak pakar perubatan selepas penilaian mendalam dilakukan ke atas kecederaan yang dialami. Justeru, mangsa (pesakit) perlu memberi segala bukti kukuh untuk menyokong tuntutan kecuaian perubatan berjaya di mahkamah dan mendapat pampasan yang sepatutnya.
Sebagai alternatif, pesakit juga boleh membuat aduan dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sebuah badan berkanun yang mengawal selia amalan perubatan di Malaysia. Mereka mempunyai kuasa menjalankan siasatan serta membuat sekatan, menggantung atau membatalkan lesen pengamal perubatan yang didapati cuai.
Kesimpulannya, adalah penting untuk mengambil maklum bahawa kecuaian perubatan adalah salah satu daripada konsep undang-undang yang memberi hak kepada mangsa (pesakit) untuk membawa tuntutan ke atas pusat perubatan, perkhidmatannya atau pengamal perubatan.-UTUSAN
SUHARNE ISMAIL
Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan,
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs)










