Jaga adab, tutur kata

Jaga adab, tutur kata

DALAM kerancakan dan keaktifan berbicara, berkemungkinan ada kata-kata yang tanpa disedari mengandungi prasangka buruk atau mengguris perasaan orang lain.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SATU perbuatan yang sukar untuk dikawal oleh manusia ialah berbicara atau bertutur kata. Sesiapa sahaja antara kita boleh mengeluarkan tutur bicara dengan sewenang-wenangnya bak kata peribahasa, ‘lidah tidak bertulang’.

Dalam kerancakan dan keaktifan berbicara, berkemungkinan ada kata-kata yang tanpa disedari mengandungi prasangka buruk terhadap orang lain atau mungkin terdapat kata-kata yang mengguris perasaan sehingga menggoncangkan keharmonian masyarakat dan negara.

Pada zaman sekarang, percakapan bukan hanya menggunakan mulut, tetapi sudah berpindah kepada tangan termasuklah menulis di media sosial. Lidah mungkin tidak lagi banyak berkata-kata, tetapi tangan pula sentiasa sibuk mengambil alih peranan lidah bagi melakukan perbuatan yang mengundang dosa fitnah sesama manusia.

Adab bertutur kata:
1. Semua perkataan mesti membawa kebaikan.
2. Bercakap mestilah jelas dan mudah difahami.
3. Merendah diri dan menjauhi sikap berdolak-dalih.
4. Menghindari banyak bercakap kerana khuatir membosankan orang yang mendengar.
5. Bercakap benar dan menghindari daripada menyatakan yang dusta.
6. Mengulangi kata-kata yang penting jika diperlukan.
7. Menjauhi perdebatan sengit.
8. Menjauhi kata-kata keji, mencela dan melaknat.
9. Menghindari sikap banyak membuat lawak.
10. Menghindari ghibah (mengumpat) dan mengadu domba.
11. Jangan menghina atau mengaibkan orang lain.
12. Mengucapkan insya-Allah (jika diizinkan Allah) terhadap sesuatu rancangan atau sesuatu yang belum pasti.

Sekiranya sebelum ini kita selalu berkata-ikut sedap mulut saja, mungkin boleh bertukar kepada bertutur sebagai orang yang rasional dan berfikiran jauh dan matang.

Kalau dibiarkan berlarutan, kata-kata kejian dan hinaan yang tidak terkawal boleh menjurus kepada musibah yang lebih besar. Sebab itu sikap sayang-menyayangi, hormat-menghormati dan bantu-membantu perlu terus kita bina dan pelihara.

Jangan cepat mencari salah orang terutama yang tidak sefahaman dengan kita. Yang penting kita perlu mendapatkan fakta yang tepat sebelum kita mengeluarkan tutur kata dan hujah kita sendiri.
Jagalah adab kita dalam berbicara kerana tutur kata yang kita jaga akan melahirkan dan memelihara keharmonian dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Bak kata Buya Hamka, kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati manusia yang keras.-UTUSAN

DR. SABARIAH BAHARUN
Ahli Jawatankuasa Pusat
Ketua Kluster Perpaduan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×