SAUDARA PENGARANG,
Warga tempatan di Temerloh, Pahang dan daerah berdekatan mungkin masih ingat dan mengetahui pada 70-an hingga 80-an terdapat sebuah panggung wayang, Panggung Sri Temerloh yang amat terkenal.
Namun, apabila kemajuan teknologi semakin berkembang dengan adanya televisyen berwarna pada awal 80-an, panggung wayang di seluruh negara beransur-ansur sepi dan lenyap satu demi satu. Sekarang ini pula digantikan dengan panggung wayang yang lebih kecil di pusat membeli-belah.
Di tengah-tengah bandar Temerloh masih terdapat sebuah bangunan panggung wayang yang sudah lama terbiar dan di tumbuhi pohon Ara atau pohon Beringin terletak di Jalan Dato’ Abu Samah bersebelahan dengan bangunan sembilan tingkat Plaza Temerloh.
Bangunan ini menempatkan Pejabat Majlis Perbandaran Temerloh dan pangsapuri di di bahagian belakang bangunan.
Bangunan ini kelihatan cantik dan merupakan mercu tanda bandar Temerloh. Walau bagaimanapun terdapat unsur yang sedikit sebanyak mencemarkan keindahan bandar kerana terdapat bangunan panggung wayang lama (Panggung Sri Temerloh) yang usang ekoran tidak dikunjungi penggemar filem sejak yang mungkin sejak hampir 40 tahun dahulu.
Pihak berwajib pastinya mengetahui pemilik tanah dan bangunan berkenaan. Sewajarnya lebih elok bangunan berkenaan dirobohkan dan digantikan dengan pembangunan yang baharu.
Walaupun bentuk muka bumi tapak bangunan ini tidak begitu luas dan tidak rata tetapi masih boleh di bangunkan dengan projek lain memandangkan tanah tersebut berada di lokasi yang strategik iaitu di tengah-tengah bandar Temerloh.
Ia mungkin sesuai dijadikan bangunan parking bertingkat tetapi jika sekiranya ia tidak sesuai, boleh di bangunkan sebuah hotel bajet dan sebagainya. Ini bagi ‘mematikan’ dua imej berbeza antara moden dan usang tidak wujud di tengah bandar Temerloh.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang










